Perkukuh STEM dalam sistem pendidikan negara - Ismail Sabri

Ismail Sabri ketika program Golden Mathematics Challenge 2023 yang diadakan di Maktab Rendah Sains Mara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bera.
Ismail Sabri ketika program Golden Mathematics Challenge 2023 yang diadakan di Maktab Rendah Sains Mara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bera.
A
A
A

SHAH ALAM - Sektor pendidikan negara masih berdepan dengan kekangan untuk menarik minat pelajar dalam menguasai bidang Sains, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2022 jelas menunjukkan subjek Matematik merekodkan peratusan kegagalan pelajar paling tinggi.

Menurut beliau, sebanyak 54 peratus daripada keseluruhan pelajar menduduki SPM 2022 memperoleh gred D, E dan G dalam subjek berkenaan.

“Penekanan perlu diberikan untuk memperkukuhkan STEM dalam sistem pendidikan kita bagi menarik lebih ramai pelajar,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ismail Sabri bergambar bersama pelajar ketika program Golden Mathematics Challenge 2023.
Ismail Sabri bergambar bersama pelajar ketika program Golden Mathematics Challenge 2023.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong penuh penganjuran program Golden Mathematics Challenge 2023 yang diadakan di Maktab Rendah Sains Mara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bera kerana ia dapat memupuk minat pelajar untuk mendalami pendidikan STEM.

Ismail Sabri berkata, program yang julung kali diadakan di daerah Bera ini telah menarik penglibatan semua sekolah menengah di Bera.

“Malah, enam negeri iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kedah, Johor, Perlis dan Negeri Sembilan turut menghantar wakil menyertai pertandingan ini,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, tujuan kerajaan mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) adalah bagi membantu pelajar luar bandar mengembangkan bakat serta melahirkan pelajar bumiputera yang berpotensi tinggi dalam bidang STEM.

“Sewaktu saya di Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, saya telah mengubah dasar kemasukan pelajar bagi membolehkan lebih ramai anak-anak orang miskin tegar dan luar bandar dapat belajar di MRSM,” katanya.

Ismail Sabri ketika dalam program Golden Mathematics Challenge 2023
Ismail Sabri ketika dalam program Golden Mathematics Challenge 2023

Beliau berkata, sektor pendidikan di Bera telah melalui perubahan yang ketara dan tidak lagi berada di kedudukan tercorot di negeri Pahang.

“Di Pahang, kita ada 14 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan bagi peringkat Bera, terdapat peningkatan untuk SPM dari segi yang lulus tapi kita masih di ranking yang kesembilan dalam Pahang. Namun, untuk STPM, Bera menduduki ranking kedua di Pahang.

“Sebagai contoh, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bera sentiasa berada di kedudukan ‘Top 10’ di negeri ini dalam peperiksaan SPM pada setiap tahun.

“Jumlah pelajar yang mendapat ‘straight A’s’ di daerah ini pada tahun 2022 juga meningkat kepada 22 orang berbanding 12 orang pada tahun 2021,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!