Perkhidmatan Haim Hilman dipendekkan berikutan laporan prestasi - KPT
PUTRAJAYA - Pemendekan tempoh perkhidmatan Dr Haim Hilman Abdullah sebagai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) adalah berikutan laporan prestasi kepimpinan beliau yang dikemukakan Lembaga Pengarah Universiti, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
KPT dalam satu kenyataan pada Sabtu bagi menafikan kenyataan yang dikeluarkan Haim Hilman menerusi media sosial berkenaan pemendekan tempoh pelantikannya berkata laporan prestasi itu dikemukakan melalui surat bertarikh 16 Jun 2022.
Haim Hilman dilantik sebagai Naib Canselor UUM yang kesembilan pada 17 Januari 2022, dan dilaporkan perkhidmatannya dipendekkan berkuat kuasa 18 Januari 2023.
"Sebelum keputusan pemendekan diambil, satu jawatankuasa telah ditubuhkan di peringkat KPT bagi meneliti dan menilai laporan yang diterima," menurut KPT.
KPT memberitahu Haim Hilman dan beberapa pegawai kanan UUM telah dipanggil ke kementerian itu pada 23 dan 29 Sept 2022 untuk memberi keterangan menjelaskan perkara-perkara yang telah dibangkitkan bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik demi kepentingan UUM.
Menerusi aplikasi TikTok yang tular, Haim Hilman mendakwa beliau telah dipendekkan perkhidmatan tanpa sebab dan tidak diberi peluang untuk membela diri.
Haim Hilman, 50, yang merupakan calon Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, Kedah membuat kenyataan itu pada program Sembang Santai Calon di kawasan DUN yang ditandinginya.
Pada 6 Februari lepas, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, beliau tidak terlibat dalam pelaksanaan tindakan yang dikenakan ke atas Haim Hilman, sebaliknya dibuat berdasarkan aduan yang diterima daripada pensyarah dan Lembaga Pengarah universiti berkenaan pada tahun lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!