PRN: 147 calon bertanding di Selangor

Calon-calon bagi DUN Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli (kiri) dari Pakatan Harapan dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari Perikatan Nasional bergambar sebaik pengumuman calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Dewan Mutiara Bestari, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Batu 7, pada Sabtu. - Foto Bernama
Calon-calon bagi DUN Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli (kiri) dari Pakatan Harapan dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari Perikatan Nasional bergambar sebaik pengumuman calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Dewan Mutiara Bestari, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Batu 7, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sejumlah 147 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Daripada jumlah itu, 44 calon mewakili Pakatan Harapan (PH), 12 mewakili Barisan Nasional (BN), 56 daripada Perikatan Nasional (PN), 14 daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), empat mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM), enam mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan satu mewakili Parti Utama Rakyat (PUR) manakala 10 adalah calon Bebas.

Sejumlah 120 calon adalah lelaki manakala 27 wanita membabitkan umur lingkungan 23 hingga 71 tahun.

Setelah proses penamaan calon selesai pada jam 10 pagi, 26 kerusi DUN menyaksikan persaingan satu lawan satu dan antara yang menjadi tumpuan ialah kawasan Hulu Kelang membabitkan pertembungan antara Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli.

Selain itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, yang menyandang kerusi DUN Sijangkang selama tiga penggal, ditentang calon BN, Mohd Al-Hafizi Abu Bakar.

Lima kawasan DUN yang menyaksikan pertembungan empat penjuru ialah Kuala Kubu Baharu, Pandan Indah, Seri Setia, Sentosa dan Dengkil.

Sebanyak 25 kerusi DUN merekodkan pertandingan tiga penjuru antaranya Sungai Tua membabitkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang berdepan calon PN daripada Pas iaitu Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Muhammad Hanif Jamaluddin dan G. Suman yang bertanding atas tiket Bebas.

DUN Gombak Setia pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin serta Muhammad Hilman Idham (PN) dan Mohamed Salim Mohamed Ali (Bebas).

Proses penamaan calon kerusi DUN di bawah Parlimen Gombak adalah antara yang paling meriah dengan kehadiran penyokong serta pemimpin termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR merangkap Pengerusi PH, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Datuk Abdul Rashid Asari, 71, yang mewakili PN bagi mempertahan kerusi DUN Selat Klang, menjadi calon tertua bertanding dalam PRN Selangor manakala Melanie Ting Yi-Hlin (Muda), yang berusia 23 tahun dan bertanding di Bukit Antarabangsa, muncul sebagai calon termuda.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!