Polis akan panggil lima pemandu kereta mewah

Tangkap layar video memaparkan lima kenderaan mewah dipandu secara melulu dan berbahaya.
Tangkap layar video memaparkan lima kenderaan mewah dipandu secara melulu dan berbahaya.
A
A
A

KOTA TINGGI – Polis telah mengenal pasti dan akan memanggil kesemua lima pemandu kereta mewah jenis Lamborghini yang dikesan memandu secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Senai-Desaru baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kesemua lima pemandu dan kenderaan masing-masing berjaya dikesan menerusi rakaman video yang dimuat naik oleh orang awam pada Jumaat.

Beliau berkata, rakaman video berdurasi 71 saat itu mendapati konvoi kereta mewah berkenaan dipandu dalam keadaan berbahaya dengan memotong kenderaan lain secara melulu sehingga boleh menyebabkan kemalangan.

“Aksi memandu kereta secara berbahaya itu didapati dilakukan di Lebuhraya Senai-Desaru dan pergerakan kenderaan adalah dari Senai menghala ke Bandar Penawar kerana dikatakan terlibat dalam satu program di sana.

“Aksi tersebut dirakamkan oleh orang awam dan dimuat naik ke laman facebook ‘Jabatan Netizen Negara’ pada Jumaat sekitar jam 9.13 malam.

“Susulan rakaman video tesebut, polis telah berjaya mengesan kesemua kenderaan terbabit yang berada di Desaru pada jam 11.40 pagi Sabtu, selain mengenal pasti kesemua pemandu lelaki yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Hussin berkata, kesemua pemandu terbabit yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 44 hingga 64 tahun telah dikesan dan akan dipanggil untuk diambil keterangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

Seksyen 42(1) APJ 1987, jika sabit kesalahan, penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!