'RM5 besar bagi orang terdesak', Azman sebak kebaikan Salahuddin
SHAH ALAM - Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub amat menitikberatkan tanggungjawab membela rakyat secara keseluruhan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof.
Berkongsi pengalaman bekerja dengan Salahuddin, beliau menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin yang bersikap rendah diri dan baik hati.
"Di hari pertama berjumpa arwah sebagai Menteri, saya dipanggil berjumpa. Arwah telah mengarahkan pegawai dan kakitangannya keluar sebentar dari pejabatnya. Tinggal saya dan dia sahaja. Inilah detik yang saya tidak boleh lupa.
"Saya melihat dia bertutur dalam keadaan penuh ikhlas. Arwah mengharapkan perhubungan baik antara dia dengan saya. Dia melemparkan kepercayaan kepada saya. Di sinilah bermulanya ikatan bekerjasama nasihat menasihati antara kami.
"Saya hormati arwah walaupun sebagai seorang menteri, tapi seringkali bertanya pada saya sama ada sesuatu idea atau perkara itu wajar atau tidak. Ini tidak mudah berlaku melainkan pemimpin itu jenis yang 'humble' atau baik hati," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Azman berkata, meskipun Menu Rahmah RM5 mendapat kritikan, Allahyarham kekal tenang dan fokus dengan matlamatnya membantu golongan yang terkesan akibat kos sara hidup yang tinggi.
"Bermula dengan Menu Rahmah, arwah bergerak pantas dari satu kedai makan ke kedai makan yang lain. Saya amat teruja. Malah ada ketika, ada yang komen...apalah sangat Menu Rahmah tu, setakat RM5 dengan lauk yang sikit.
"Tapi arwah dengan tenang menyatakan...RM5 itu amat besar bagi orang yang benar-benar terdesak dan termiskin. Inilah kumpulan yang nak kita bantu. Orang yang berduit mungkin tidak merasa apa-apa tapi tetap ada orang yang susah untuk kita bantu.
"Sebak hati saya...sebab ramai antara kita dahulu pun memang tidak senang mana. Saya terkenang masa lepas saya ketika kecil. Benarlah kata-kata arwah tersebut," katanya.
Tambah Azman, kesefahaman yang baik antara beliau dan Allahyarham memberi kekuatan buat beliau untuk terus bergerak dan menghasilkan idea-idea dalam menambah nilai sektor perdagangan dalam negeri dan inisiatif-inisiatif bagi mengimbangi kos sara hidup.
Katanya, Menu Rahmah mungkin kecil, tetapi memberi impak yang besar kerana melahirkan satu budaya pemikiran kepada semua yang terlibat bahawa isu bebanan hidup adalah tanggungjawab bersama.
"Apa yang nak saya sampainya, jadilah pemimpin yang berjiwa rakyat. Hormati dengan pegawai yang akan membantu melaksanakan bertanggungjawab bersama dan fokus dalam hala tuju membantu rakyat.
"Tidak ada gunanya ego seorang pemimpin kerana ego itu tidak akan membawa hasil yang baik," katanya.
Justeru, beliau turut mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan pemimpin yang diberkati ALLAH SWT.
ARTIKEL BERKAITAN: Salahuddin Ayub meninggal dunia
'Berehatlah sahabatku...' - Anwar
Suasana pilu selubungi ketibaan jenazah Salahuddin
Belangsungkawa Datuk Seri Salahuddin Ayub
Jenazah Salahuddin selamat disolatkan di Masjid Al-Badar
Jenazah Salahuddin dikebumi di Pontian tengah hari Isnin
Jenazah Salahuddin akan disembahyangkan di Masjid Al-Badar
Salahuddin aktif pastikan tiada kenaikan harga barang - Mat Sabu
Salahuddin rakan baik, budiman - Sanusi
Pesawat khas bawa pulang jenazah Salahuddin ke Johor Bahru
Jenazah Salahuddin akan dikebumikan di Tanjung Piai
'Salahuddin paling istimewa di hati saya - Hannah
Salahuddin gigih bantu rakyat hingga akhir hayat - Ahmad Maslan
Salahuddin pejuang kos sara hidup rakyat - PM
Salahuddin maafkan semua orang sebelum tidur - Tze Tzin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!