PRN: Muhammad Suffian perjelas panggilan ustaz
KUALA PILAH - "Mungkin sebab dahulu saya belajar di Mesir,". Itu respon calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi, 41, ketika ditanya mengenai panggilan ustaz dalam kalangan masyarakat di daerah ini terutamanya kawasan Seri Menanti.
Menurutnya, sebelum ini beliau belajar di Mesir dan selepas tamat pengajian di Universiti Al-Azhar telah diberikan tauliah mengajar daripada Jabatan Agama.
"Baru-baru ini saya berjumpa dengan kepimpinan masyarakat di DUN Seri Menanti mereka pun bertanya juga. Adakah saya ini ustaz betul ataupun ustaz gelaran.
"Saya kata, mungkin dipanggil ustaz kerana saya dulu belajar di Mesir dan pernah diberi tauliah mengajar agama cuma saya tak sambung sahaja dan bukannya ditarik, cuma saya tak sambung tauliah," katanya ketika ditemui pemberita di Gunung Pasir, Seri Menanti pada Sabtu.
Beliau berkata, tindakannya tidak menyambung tauliah itu disebabkan beberapa faktor antaranya kesibukan dalam bertugas.
"Saya pernah menjadi imam di kampung saya iaitu di Masjid Kariah Kampung Pauh, Teraci dan sekarang masih lagi sebagai imam rawatib, kadang-kadang kalau saya balik rumah mak atau ayah biasalah jadi imam di masjid itu," katanya.
Muhammad Sufian antara calon muka baharu yang ditampilkan BN membabitkan tujuh kerusi DUN selain enam lagi individu iaitu Timbalan Ketua UMNO Port Dickson, Mohd Najib Mohd Isa di DUN Bagan Pinang; Timbalan Ketua UMNO Jempol, Muhamad Zamri Omar di DUN Serting dan Naib Ketua UMNO Seremban, Mohd Asna Amin di DUN Lenggeng.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Bahagian Rembau, Suhaimi Aini pula dipertaruhkan di DUN Kota dan Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Suhaimizan Bizar di DUN Gemencheh.
Bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir pula diberi kepercayaan mempertahankan kerusi milik MIC di DUN Jeram Padang selepas MIC membuat keputusan untuk tidak bertanding di enam negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!