Malaysia gagal sekat dominasi Mesir
MALAYSIA gagal mengakhiri penguasaan Mesir selama lapan kali berturut-turut pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Wanita Dunia apabila tewas 0-2 di pentas final di Melbourne, Australia pada Sabtu.
Keputusan itu menyaksikan Mesir mempertahankan kejuaraan dunia itu buat kali kelapan berturut-turut sejak edisi 2007, 2009, 2011, 2013, 2015, 2017 dan 2019.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia sekali lagi kecundang di pentas final kepada Mesir buat kali keempat sejak edisi 2007 diikuti 2017 dan 2019.
Pada perlawanan akhir, Mesir hanya memerlukan masa 27 minit untuk mengutip mata pertama menerusi Zeina Zein yang mengalahkan K Sehveetrraa 3-1 (11-3, 11-5, 2-11, 11-10).
Mesir mengesahkan kejuaraan dunia ke-10 mereka selepas Amina Orfi, juara remaja dunia, sekali lagi mengecewakan Aira Azman 3-0 (11-7, 11-8, 11-2) dalam tempoh 34 minit.
Ahad lalu, Amina mempertahankan gelaran juara remaja dunia dengan mengalahkan Aira 11-8, 11-5, 11-1 pada final acara perseorangan, di sini.
Jurulatih kebangsaan, Andrew Cross, akur dengan kehebatan Mesir yang dibarisi tiga pemain pilihan utama kejohanan.
"Seperti dijangka, kita berdepan dengan pasukan juara bertahan dan mereka telah memberikan kesukaran buat pemain kita yang memberi persembahan terbaik masing-masing.
"Ini adalah satu pengalaman yang akan kekal bersama pemain selama-lamanya dan skuad negara tidak akan berhenti berusaha memburu gelaran dunia ini," katanya ketika dihubungi selepas aksi final itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!