KL City bangkit benam Kelantan

Barisan pemain KL City meraikan jaringan Zafri di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur petang tadi. - Foto Bernama
Barisan pemain KL City meraikan jaringan Zafri di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur petang tadi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR (KL) City FC bangkit daripada ketinggalan sebelum berjaya melakar kemenangan besar 5-1 ke atas Kelantan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras petang tadi.

Biarpun beraksi di laman sendiri, skuad The City Boys terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan Kelantan seawal minit ketiga hasil sepakan percuma Leonardo Rolon.

Bagaimana pun, penyerang KL City, Zhafri Yahya berjaya menyamakan kedudukan buat tuan rumah apabila rembatannya menerjah gawang The Red Warriors (TRW) pada minit ke-26.

Dua minit babak kedua bersambung, KL City yang kini dibimbing penolong ketua jurulatih, Miroslav Kuljanac berada di depan hasil jaringan Romel Morales.

Penyerang kelahiran Colombia itu kemudiannya menambah gol ketiga KL City apabila mudah menampan masuk bola hantaran Kamal Azizi Zabri pada minit ke-65.

Pemain gantian KL City, J Partiban terus menggamatkan stadium apabila meledak gol keempat pada minit ke-84 sebelum Morales melengkapkan hatrik pada penghujung perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan KL City memintas Terengganu FC (TFC) di kedudukan keenam liga dengan mengumpul 28 mata, manakala Kelantan kekal di tangga tercorot dengan lima mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!