Sumpahan Jerunei bukan karya klise
FILEM Sumpahan Jerunei terbitan Produksi Seni 2020 mengetengahkan kisah misteri yang jarang diketahui masyarakat tentang adat budaya dan ritual kaum Melanau di Sarawak pada abad ke-16 iaitu Jerunei.
Malah, secara jujurnya penulis sendiri kurang arif mengenai kisah Jerunei dan tayangan filem tersebut sedikit sebanyak menimbulkan rasa ingin tahu serta keterujaan untuk menontonnya.
Filem yang diarahkan oleh Jason Chong menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Daiyan Trisha, Amerul Affendi, Ruminah Sidek dan ramai lagi.
Secara ringkasnya, filem yang diinspirasikan daripada kisah benar itu mengisahkan pegawai pemeliharaan warisan, Bee (Uqasha) memaksa profesor arkeologi, Dr Sani (Bront) mengikutnya ke Sarawak bagi mencari sekumpulan ahli arkeologi termasuk bekas isteri Dr Sani yang hilang ketika membuat kajian mengenai tiang Jerunei.
Mereka ke sana disertai bekas pelajar, Arjuna (Syafie); pegawai pemeliharaan warisan, Hana (Daiyan) dan jurukamera merangkap pencipta kandungan YouTube, Tommi (Amerul).
Namun, sebaik tiba mereka mula mengalami halusinasi, misteri, sakit luar biasa, mimpi buruk dan lebih buruk apabila jasad salah seorang dirasuk oleh roh yang dikorbankan di tiang Jerunei.
Pada pandangan penulis, Jason yang tidak asing lagi dengan karya thriller dan seram telah berjaya menterjemahkan kisah Jerunei dengan begitu baik.
Tidak hanya sekadar sebuah jalan cerita, Jason turut menyelitkan elemen jump scare yang mampu memberi kejutan tetapi ada ketikanya sudah boleh dijangka.
Bagaimanapun, ada sedikit kekurangan pada jalan cerita dan penulis percaya ia boleh diperkemas lagi kerana tidak jelas mengapa Bee yang menjadi pilihan roh untuk dirasuk.
Dari sudut sinematografi juga agak menarik, cuma kerana dianiayai oleh seorang individu menurut penerbit filem ini, hasil imej janaan komputer (CGI) bukan pada tahap terbaik jika dibandingkan dengan filem lain.
Namun, kekurangan itu berjaya diselamatkan dengan lakonan mantap pelakon yang terlibat. Bagi penulis, semuanya memainkan peranan mereka dengan cukup baik.
Tiada istilah cuba berlebih dan menutup pemain yang lain, sebaliknya setiap watak yang wujud mempunyai fungsi masing-masing untuk melengkapkan jalan cerita.
Puas hati melihat setiap pelakon menjayakan babak mereka sendiri tanpa menggunakan body double atau pelakon tambahan.
Rasanya kalau jalan cerita ini dikembangkan untuk sekuel pasti menarik kerana tidak semua mengetahui kisah tiang Jerunei yang tidak lagi digunakan selepas James Brooke memerintah Sarawak.
Secara keseluruhannya, Sumpahan Jerunei masih sebuah naskhah yang menarik untuk ditonton pada hujung minggu.
Sumpahan Jerunei
Pengarah: Jason Chong
Pelakon: Bront Palarae, Uqasha Senrose, Syafie Naswip, Daiyan Trisha, Amerul Affendi, Tony Eusoff, Ruminah Sidek, Yuyun Hikmah
Genre: Seram
Durasi: 1 jam 31 minit
Tayangan: 27 Julai 2023
Bintang:3.5/5
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!