Kempen calon 'bulan', PH-BN kian rancak di Terengganu

PERANG BENDERA... Bendera parti bertanding pada PRN mula dipasang bagi menghangatkan suasana semasa tinjauan di Pasir Panjang, Kuala Terengganu hari ini. - Foto Bernama
PERANG BENDERA... Bendera parti bertanding pada PRN mula dipasang bagi menghangatkan suasana semasa tinjauan di Pasir Panjang, Kuala Terengganu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Biarpun gendang pilihan raya negeri (PRN) baru sahaja dipalu dan gelanggang pertarungan dibuka pagi ini, namun bahang pilihan raya di Terengganu telah mula dirasai lebih dua minggu yang lalu.

Di kebanyakan tempat, perang bendera khususnya di antara ‘dacing’ dan ‘bulan’ sudah bermula dan dijangka semakin rancak selepas 66 calon termasuk seorang calon bebas akan berentap bagi merebut 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah disahkan penyertaan dalam proses penamaan calon hari ini.

Turut ‘menyelit’ dalam kemeriahan PRN kali ini ialah calon PKR dan Pas iaitu Azan Ismail serta Datuk Ahmad Amzad Hashim yang akan bertanding di atas platform Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Berdasarkan data pencalonan yang diumum Suruhanjaya Pilihan Raya, sebanyak 30 kerusi DUN Terengganu bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu manakala dua lagi iaitu DUN Bandar dan DUN Hulu Besut menampilkan tiga calon sekali gus memberi lebih pilihan kepada pengundi di kawasan terbabit.

DUN Bandar menyaksikan pertembungan di antara Ustaz Ahmad Shah (Pas), Armi Irzan Mohd (BN-UMNO) dan Luqman Long (Muda) manakala DUN Hulu Besut menampilkan seorang calon Bebas dikenali sebagai Dr Cikgu Che Harun Kamariah, Datuk Nawi Mohamad (BN-UMNO) serta Mohd Husaimi Hussin (PN-Bersatu)

Berbekalkan rekod 930,894 pemilih layak mengundi di seluruh negeri termasuk sejumlah 64,264 yang berumur 18 hingga 20 tahun, kedudukan Terengganu sebagai 'swing state' menyukarkan ramalan parti mana bakal mendominasi PRN kali ini.

Mengakui berhadapan saingan sengit di beberapa kerusi, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga penyandang kerusi DUN Ru Rendang berkata, pihaknya akan mengatur gerak kerja secara optimum bagi memastikan ‘bulan purnama’ terus menerangi Terengganu.

"Kita sudah menyusul dengan strategi yang lebih sikit di kerusi-kerusi itu (yang ada saingan sengit)... Tapi saya tidak mahu sebut kerusi mana yang bagi saingan lebih itu," katanya yang bersaing dengan Suhaimi Sulaiman (PH-Amanah).

Beliau berkata, semua calon Perikatan Nasional (PN) di Terengganu sepakat untuk menggunakan logo 'bulan' dan akan dilabel dengan aksara Pas dalam kertas undi.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang merupakan penyandang kerusi DUN Kijal, turut berdepan saingan satu lawan satu menentang Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Datuk Rozali Idris (PN-Bersatu).

Ahmad, yang optimis mampu mempertahan kerusi DUN itu berkata, pengundi kini mula memahami senario politik dan beliau yakin Gelombang Biru mampu kembali menguasai Terengganu dan merampasnya daripada PAS.

"Setelah tewas pada pilihan raya yang lepas, inilah masa yang terbaik untuk BN bangkit serta menebus kembali kekalahan lalu... saya yakin dengan calon-calon gabungan muka baharu dan lama mampu memenangkan BN Terengganu," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, BN tewas selepas hanya mampu meraih 10 kerusi DUN manakala Pas menang selesa dengan 22 kerusi. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!