PM mahu program selawat diadakan di seluruh negara

Anwar berucap ketika hadir ke Program Darul Ehsan Berselawat di Stadium Malawati Shah Alam, malam Sabtu. - Foto Bernama
Anwar berucap ketika hadir ke Program Darul Ehsan Berselawat di Stadium Malawati Shah Alam, malam Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu program memperingati Rasulullah SAW seperti Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 yang diadakan di Selangor diteruskan ke seluruh pelusuk negara.

Beliau berkata, ini kerana program seumpama itu berupaya mengetuk pintu hati ummah untuk mengingati dan mencintai junjungan Nabi Muhammad SAW.

"Terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang memeriahkan Selangor dengan gegaran selawat dan selepas Selangor, kita akan jelajah seluruh negara selepas Pilihan Raya Negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 di Stadium Tertutup Malawati malam Sabtu.

Perdana Menteri berkata, negara Madani pimpinan beliau ditegakkan dengan nilai dan akhlak mengikut contoh Nabi Muhammad SAW dan seharusnya kesedaran untuk mengingati serta berselawat kepada baginda disebarkan ke seluruh Malaysia yang tercinta.

Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dengan kerjasama Pertubuhan Damai dan Cinta Insani (Pendamai) merupakan kesinambungan program pertama pada 14 Jan lepas yang mendapat sambutan menggalakkan.

Acara selawat dan zikir munajat malam ini turut menampilkan ulama serta pendakwah terkenal seperti Sheikh Abu Zaki, Ustaz Neezam Al-Banjari dan Ustaz Dr Ahmad Farkhurrazi yang menarik lebih 5,000 hadirin. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!