Gol Heberty, Bergson jamin tiga mata JDT

Penjaga gol Selangor FC Samuel Jacob Somerville mendakap bola sambil diasak pemain JDT, Bergson Gustavo Silveira Da Silva pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam Sabtu. - Foto Bernama
Penjaga gol Selangor FC Samuel Jacob Somerville mendakap bola sambil diasak pemain JDT, Bergson Gustavo Silveira Da Silva pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

BIARPUN masuk selaku pemain gantian, namun debut pemain import baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Heberty Fernandes pasti akan diingati apabila berjaya menjaringkan gol bagi membantu kemenangan skuad Harimau Selatan itu, 2-0 pada aksi Liga Super berdepan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam Sabtu.

Jaringan Heberty pada minit ke-78 turut menggamatkan stadium dengan sorakan penyokong yang menunggu lebih 70 minit bagi meraikan jaringan.

Seorang lagi penyerang import, Bergson Da Silva menambah satu lagi gol pada masa kecederaan babak kedua apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti.

Perlawanan bermula baik dengan menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak sebaik wisel permulaan dalam usaha membuka jaringan.

Bagaimanapun, asakan-asakan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan.

Debut Heberty bantu kemenangan JDT - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Debut Heberty bantu kemenangan JDT - Foto Facebook Johor Southern Tigers

Minit ke-24, menyaksikan JDT hampir memecah kebuntuan jaringan apabila pemain sayap lincah, Arif Aiman Mohd Hanapi berjaya melepasi kawalan pertahanan Selangor FC, namun lorongannya gagal disempurnakan rakan sepasukan, Akhyar Rashid.

Di penghujung babak pertama, JDT dilihat lebih banyak menguasai perlawanan namun masih gagal meledak jaringan sulung perlawanan.

Malah, sepakan percuma Juan Muniz pada masa kecederaan gagal menepati sasaran untuk kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan semakin menggandakan asakan bagi memecah kebun tuan jaringan.

JDT sekali lagi berpeluang merobek gawang pelawat pada minit ke-55, namun rembatan penyerang import, Bergson Da Silva, berjaya di Selamat kan penjaga gol, Samuel Jacob Somerville.

Bagaimanapun, hasil satu serangan balas. Heberty pantas memanfaatkan peluang dengan menolak masuk gol sulung perlawanan pada minit ke-78.

Pada masa kecederaan, JDT mendapat sepakan penalti apabila Bergson dikasari dalam kotak penalti.

Peluang tersebut nyata tidak dipersiakan Bergson yang tenang menyempurnakan sepakan penalti berkenaan untuk gol kedua pasukan dan sekali gus menjamin tiga mata menjadi milik skuad Harimau Selatan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!