Remaja antara dua ditahan terbangkan dron pada hari penamaan calon
KOTA BHARU - Seorang remaja berusia 14 tahun antara dua suspek lelaki yang ditahan selepas disyaki menerbangkan dron berhampiran Pusat Penamaan Calon (PPC) Pilihan Raya Negeri (PRN), pada Sabtu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kes pertama berlaku di PPC Kolej Vokasional Pasir Mas, Bunut Susu pada jam 9.45 pagi.
"Susulan itu anggota polis telah mengarahkan suspek berusia 55 tahun untuk menurunkan dron tersebut.
"Polis kemudian bertindak merampas satu unit dron DJI Mini 3 Pro dan satu alat kawalan jauh. Suspek kemudian telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Muhamad Zaki berkat,a kes kedua dilaporkan berlaku di PPC Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, Pengkalan Chepa kira-kira jam 10.03 pagi.
"Ketika kejadian seorang remaja berusia 14 tahun dikesan sedang menerbangkan dron di kawasan kejadian. Polis telah mengarahkan supaya dron itu diturunkan sebelum dirampas bersama seunit telefon bimbit iPhone 7 Plus, suspek telah ditahan dan dibawa ke IPD Kota Bharu bagi tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua kes tersebut dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).
"Pihak CAAM telah dihubungi bagi tindakan lanjut di bawah Peraturan 140 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!