'Saya bawa suara presiden'

Peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi. - Foto fail Bernama (Gambar kecil: Amarjit)
Peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi. - Foto fail Bernama (Gambar kecil: Amarjit)
A
A
A

TIDAK keterlaluan jika dikatakan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill membawa maruah negara apabila beliau menghadiri mesyuarat Eksekutif Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) di Glasgow pada Isnin.

Apa tidaknya, tumpuan kini terarah kepada Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI untuk meyakinkan badan induk dunia, UCI dalam penganjuran perlumbaan jejalah berbasikal terulung di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.

Ketika ini, status penganjuran LTdL 2023 masih mencetuskan tanda tanya apabila perlumbaan berstatus ProSeries itu yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 September depan tiada lagi dalam kalendar UCI.

Situasi itu mencetuskan keresahan PKBM selaku badan induk berbasikal di negara ini biarpun Majlis Sukan Negara (MSN) diberikan tanggungjawab selaku penganjur LTdL 2023 yang memasuki edisi ke-23.

“Sudah tentu apa yang dibimbangkan Datuk Abu Samah (Abd Wahab) selaku Presiden PKBM ada asasnya kerana penganjuran LTdL ini membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya bukan sahaja beliau, malahan setiap pemegang taruh terlibat mahupun peminat sukan berbasikal negara tidak mahu LTdL berkubur kerana LTdL ada sejarah dan keunikan tersendiri.

“Jadi saya akan bawa suara presiden (Abu Samah) pada mesyuarat UCI nanti. Dalam mesyuarat itu nanti, saya percaya segala persoalan kita semua akan berakhir,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Laporan Sukan Sinar pada Sabtu.
Laporan Sukan Sinar pada Sabtu.

Pada masa sama, Amarjit tidak menolak kemungkinan situasi yang berlaku itu atas sebab bebanan hutang yang ditinggalkan pihak penganjur LTdL sebelum ini, Human Voyage (M) Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Amarjit berkata, isu berkenaan sudah diselesaikan pihak Human Voyage apabila bayaran baki hutang yang tertunggak itu sudah dibayar kepada lima pasukan terlibat.

“Saya diberitahu hutang kepada lima pasukan itu sudah selesai. Jadi ini satu perkembangan yang baik sebelum saya membawa perkara ini dalam mesyuarat (UCI) itu nanti," jelasnya.

Difahamkan, lima pasukan yang sebelum ini menuntut hutang masing-masing ialah Movistar Team, Cofidis Solutions Credits, Lotto Soudal, Alpecin–Deceuninck dan EF Education–EasyPost.

Mengenai berita Human Voyage yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap PKBM dan Abu Samah, Amarjit berkata; “Kita tunggu dan lihat, tapi apapun saya akan mempertahankan Presiden PKBM.”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!