11 kali cuba baru menang tanding wajah mirip Ernest Hemingway
MIAMI - Percubaan kali ke-11 nyata membawa tuah kepada seorang lelaki dari Wisconsin, Amerika Syarikat (AS) apabila dia akhirnya dinobatkan sebagai pemenang pertandingan wajah mirip Ernest Hemingway di Key West, Florida baru-baru ini.
Lebih manis, Gerrit Marshall diumumkan pemenang pada hari lahirnya yang ke-68 selepas mengatasi hampir 140 peserta lain yang merupakan pelanduk dua serupa Hemingway.
Pertandingan edisi ke-42 itu adalah acara kemuncak sambutan Hari Hemingway yang diadakan di Sloppy Joe's Bar, tempat di mana mendiang Hemingway meluangkan masa semasa tinggal di Key West pada tahun 1930-an.
"Seperti Hemingway, saya sukakan aktiviti luar seperti memancing dan telah menulis buku bukan fiksyen dan fiksyen pendek.
"Apa pun, saya tidak dapat menandingi Hemingway yang berkahwin sebanyak empat kali. Bagi saya, seorang isteri sudah memadai," kata bekas jurutera penyiaran televisyen ini.
Hemingway yang merupakan penulis prolifik, terkenal kerana sumbangan besarnya kepada dunia kesusasteraan di AS.
Sebahagian besar novel tulisannya berkisar kisah sebenar yang berlaku di kediamannya yang terletak di Key West.
Malah, pemenang Hadiah Pulitzer 1953 itu turut menjadikan pengalamannya sebagai pemandu ambulans untuk Itali semasa Perang Dunia Pertama serta penjelajahannya di Eropah hingga Afrika sebagai sumber untuk novel-novelnya.
Hemingway meninggal dunia pada 1961, namun legasinya terus hidup sehingga ke hari ini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!