Pemandu lori parah terbabas di landasan kereta api
NILAI – Seorang pemandu lori cedera parah, selepas kenderaan berat yang dipandunya itu terbabas sehingga memasuki landasan kereta api Batang Benar, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, lori 10 tan yang membawa muatan pasir terbabas menyebabkan pemandunya mengalami cedera di bahagian kepala.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.39 pagi dan sebaik sahaja tiba ke lokasi mendapati pemandu lori itu telah tersepit.
“Kita mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mengalami cedera parah di bahagian kepala.
“Mangsa kemudiannya di bawa oleh ambulans KTM ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.
Katanya, semasa kejadian mangsa yang berusia 31 tahun hanya sendirian dan baru sahaja keluar daripada tempat kuari selepas mengambil pasir di sekitar Batang Benar.
Tambahnya, akibat kemalangan itu, satu daripada empat landasan kereta api di stesen Batang Benar itu terpaksa ditutup.
Bagaimanapun kemalangan tersebut tidak membabitkan sebarang kenderaan lain dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Seramai 11 anggota termasuk dua pegawai bergegas ke lokasi kejadian, bersama tiga jentera termasuk sebuah EMRS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!