Konsert Sweet Charity di JB pukau 3,000 penonton

Sweet Charity mengadakan Konsert Berita Gempa di Stadium Arena Larkin, Johor Bahru pada malam Sabtu.
Sweet Charity mengadakan Konsert Berita Gempa di Stadium Arena Larkin, Johor Bahru pada malam Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Selepas 10 tahun tidak mengadakan konsert di Johor, Sweet Charity menghilangkan rindu peminatnya apabila mengadakan Konsert Berita Gempa di Stadium Arena Larkin di sini pada malam Sabtu.

Legenda rock dari Singapura itu memukau lebih 3,000 penonton dari seluruh pelusuk tanah air termasuk Singapura dan Brunei, konsert tersebut merupakan jelajah seni terbaharu mereka sebelum ke Singapura selepas ini.

Muncul sekitar 9 malam meleraikan resah peminat mereka yang terdiri daripada golongan muda dan tua dengan pakej lengkap dan menarik mulai daripada persembahan, instrumentasi, visual, sistem bunyi dan pencahayaan sehingga imej serta skrin layar gergasi di atas pentas.

Konsert Berita Gempa dimulakan dengan persembahan pembukaan tiga lagu malar segar sehingga ke hari ini iaitu di tahun 2000, Pelarian dan Hilang Gelap Terbitlah Terang yang seakan lagu 'pemanas badan'.

Apabila lagu Dekatlah Padaku, Dunia Perlumbaan dan Sejuta Wajah yang mempunyai tempo perlahan dan rancak, sitausi berubah dan seakan meledakkan emosi penonton malam tadi apabila ramai yang menyanyikannya bersama-sama.

Persembahan Datuk Ramli Sarip selaku vokalis, Rahman Sarbani (pemain dram), Rosli Mohalim (gitaris) serta Ahmad Jaafar (kibodis/vokalis kedua) yang merupakan anggota klasik kumpulan ini dibantu seorang lagi gitaris dan kibodis serta pemain alat perkusi ternyata bertenaga sehingga membuatkan penonton 'jadi gila' dan turut menari bersama, namun persembahan masih dalam keadaan terkawal.

Stadium Arena Larkin digegarkan lagi dengan lagu Berita Gempa dan Musibah sebelum lagu Bagaikan Bermimpi, Terharu dan Jalan Malam dinyanyikan oleh Ahmad dengan lagu Jalan Malam berduet dengan Rosli.

Ramli Sarip antara figura tumpuan apabila dalam usia 70-an masih bertenaga menjayakan Konsert Berita Gempa di Stadium Arena Larkin, Johor Bahru pada malam Sabtu.
Ramli Sarip antara figura tumpuan apabila dalam usia 70-an masih bertenaga menjayakan Konsert Berita Gempa di Stadium Arena Larkin, Johor Bahru pada malam Sabtu.

Legenda rock yang mempunyai tujuh album studio sejak 1979 itu turut mendendangkan lagu-lagu mereka yang pernah popular dan berkumandang di corong-corong radio satu ketika dahulu seperti Zakiah, Jangan Tunggu Lama-lama dan Raja Kumbang.

Sebelum meneruskan konsert dengan lagu ke-16 iaitu lagu saduran Tanjung Puteri yang pernah dinyanyikan Othman Hamzah dan amat sinonim dengan Johor, Ramli mengimbau satu sejarah kumpulan hitam itu semasa mengadakan persembahan di negeri tersebut.

"Kami pernah disenarai hitam daripada membuat konsert di Johor. Semasa bermain dalam 'funfair' di Taman Pelangi (Johor Bahru), pentas roboh dan mengakibatkan beberapa orang pengsan tetapi tiada kemalangan jiwa berlaku.

"Ini disebabkan penonton berpusu-pusu dan menolak antara satu sama lain. Tempat 'funfair' hanya boleh muat sekitar 3,000 orang tetapi pada hari itu yang datang 7,000 orang. Insiden ini menjadi tajuk utama akhbar keesokan hari.

"Kami diharamkan dari masuk Johor hampir satu tahun setengah. Ini cukup memberi kesan kepada anggota kami kerana banyak yang datang dari Johor seperti dari Muar dan Pontian," katanya sebelum lagu Tanjung Puteri dimainkan secara akaustik.

Kemuncak malam Konsert Berita Gempa dihidangkan dengan lagu Apa Khabar Sayang, Seniman di Rantau, Datang dan Pergi, Batu, Lahirmu Bukan Untuk Dunia, Ribut 10.59 pagi, Kamelia, Teratai dan Penunggu.

Secara keseluruhan sebanyak 25 lagu dibawakan untuk persembahan istimewa itu dan konsert anjuran Megatix Malaysia dengan kerjasama Tourism Johor melabuhkan tirai pada jam 12 tengah malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!