Laman Niaga Up Town Pandu Lalu suram, tiada sambutan
KLUANG - Hanya tiga hingga enam kedai dibuka daripada 18 gerai yang terdapat di Laman Niaga Up Town Pandu Lalu berhampiran Hentian Bas Kluang di bandar ini mengakibatkan kawasan itu kurang mendapat sambutan orang ramai.
Seorang peniaga, Ras Azira Jamaludin, 29, mendakwa, hanya enam gerai dibuka setiap hari yang menyediakan pelbagai jenis makanan segera seperti kuih muih, nasi bungkus, takoyaki, pani puri, goreng pisang dan keledek serta minuman.
Dia berpendapat, kawasan tersebut mampu menarik kedatangan orang ramai sekiranya semua 18 gerai dibuka secara konsisten.
"Ramai tidak tahu laman niaga ini sudah beroperasi sejak hujung tahun lepas kerana menyangkakan tidak ada orang meniaga ekoran lebih banyak yang ditutup berbanding dibuka setiap hari.
"Perniagaan yang menggunakan sistem pandu lalu ini memudahkan orang ramai untuk membuat membeli kerana semua makanan yang dijual hanya memerlukan beberapa minit untuk dibungkus.
"Memang jika dilihat daripada jauh seakan-akan laman niaga ini tidak beroperasi, namun secara hakikatnya terdapat antara lima hingga enam peniaga berniaga setiap hari," katanya.
Sabre Amri Saidin, 35, yang menjual tokayaki pula berkata, ada ketika hanya dua atau tiga gerai dibuka seolah-olah menggambar kawasan tersebut seperti tidak beroperasi.
"Peniaga juga amat memerlukan bantuan promosi pihak Majlis Perbandaran Kluang (MPK) agar orang ramai tahu laman niaga ini.
"Saya juga menyeru rakan niaga lain membuka perniagaan mereka walaupun kedatangan pelanggan yang ramai hanya ketika hujung minggu," katanya.
Sementara itu, Ketua Whip MPK, Md Norhalim Md Amin berkata, pihaknya akan menawarkan gerai kepada mereka yang berminat sekiranya peniaga sedia ada tidak lagi mahu berniaga di kawasan tersebut.
Katanya, sebelum tindakan menarik semula lesen perniagaan di Laman Niaga Pandu Lalu itu dilakukan, pihaknya akan mengeluarkan surat amaran kepada perniagaan yang enggan membuka perniagaan.
"Pihak pengurusan lesen gerai akan turun padang dalam masa terdekat ini dan tindakan susulan diambil selaras dengan syarat-syarat ditetapkan ketika tawaran gerai dibuka.
"Bagaimana pun, kami memahami sebahagian peniaga mungkin berhadapan kekangan kewangan untuk berniaga berikutan kos harga barang yang semakin meningkat pada masa ini," katanya ketika dihubungi.
Md Norhalim yang juga Pengerusi Kelab D'Kluang berkata, masalah pemasaran mungkin disebabkan kurangnya gerai dibuka setiap hari dan yakin sekiranya semua gerai beroperasi membolehkan orang ramai datang kerana banyak pilihan menu jualan dapat dibeli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!