Daiyan Trisha semakin bersinar

Biarpun lebih menyerlah dalam dunia fesyen di luar negara, Daiyan tidak menolak untuk menerima tawaran lakonan mahupun nyanyian sekiranya diberi kepercayaan.
Biarpun lebih menyerlah dalam dunia fesyen di luar negara, Daiyan tidak menolak untuk menerima tawaran lakonan mahupun nyanyian sekiranya diberi kepercayaan.
A
A
A

DIAM tak diam, tahun ini menyaksikan Daiyan Trisha sudah 10 tahun berada dalam industri seni tempatan.

Sudah lari daripada imej anak dara polos yang membintangi naskhah Dee di saluran televisyen kanak-kanak, Astro Ceria, pemilik nama penuh Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin kini sudah semakin bersinar bukan sahaja di Malaysia, malah di persada antarabangsa.

Biarpun bukan mendapat tawaran baik untuk nyanyian mahupun lakonan, tetapi jemputan menghadiri beberapa majlis dianjurkan jenama global yang dihadiri bintang terkenal dunia, sedikit sebanyak membuktikan dirinya semakin mendapat perhatian.

Bukan calang-calang orang yang akan dipilih oleh label besar seperti Dior, Coach, Lancome, Gucci, Ralph Lauren dan banyak lagi untuk bertandang ke program berprestij mereka.

"Alhamdulillah orang luar sudah perlahan-lahan sedar kehadiran saya dalam dunia fesyen di luar negara. Jadi, kalau ada rezeki dan peluang saya pasti mahu rebut peluang itu lagi.

"Tidak kiralah berlakon atau menyanyi sekali pun, saya pasti akan buat yang terbaik untuk harumkan lagi nama Malaysia," ujarnya yang berasa teruja setiap kali bertemu dengan selebriti antarabangsa ternama.

Daiyan berkata demikian ketika ditemui media pada majlis tayangan filem lakonannya, Sumpahan Jerunei di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Daiyan, walaupun sudah sedekad berada dalam lingkungan seni, beliau masih belum menjumpai erti kepuasan sebenar dan sentiasa mahu lakukan yang terbaik.

Persaingan yang sentiasa melingkari diri seorang selebriti katanya, sentiasa memberi motivasi terhebat beliau untuk lebih maju ke depan.

"Sebagai artis, setiap kali berlakon dan menyanyi, saya mahu lakukan yang terbaik. Kepuasan itu tidak pernah cukup, jadi kena buat lebih dan lebih lagi," katanya.

Kesungguhan itu jugalah yang dilakukan Daiyan dalam filem terbaharu lakonannya, Sumpahan Jerunei, arahan Jason Chong.

Trauma

Membawakan watak sebagai Hana, filem yang menjalani penggambaran empat tahun lalu itu telah membuatkan Daiyan 'trauma' untuk membintangi genre seram buat seketika.

Jelas wanita jelita itu, beliau berdepan dengan beberapa kecederaan dan kesakitan yang sukar diungkapkan.

Sesungguhnya, Sumpahan Jerunai merupakan naskhah paling mencabar yang pernah dilakonkannya.

"Bayangkan, saya mendapat jangkitan telinga selama dua minggu, perlu berlari dalam hutan tanpa kasut sehingga tapak kaki saya tertusuk serpihan buluh yang gatal.

"Badan saya calar-balar, lebam dan saya diserang anxiety (keresahan) ketika menjayakan salah satu plot cerita. Adakalanya saya menangis selepas menjayakan sesuatu babak.

"Memang trauma sehinggakan bila ada tawaran filem seram yang datang selepas itu, saya terpaksa tolak.

Namun, selepas melihat hasilnya, saya rasa puas hati dengan apa yang saya laksanakan, alhamdulillah," ujarnya.

Selain Sumpahan Jerunei yang menemui penonton di pawagam sejak 27 Julai lalu, Daiyan kini sedang menjalani penggambaran drama adaptasi W: Two Worlds.

Ujarnya, karya daripada drama Korea Selatan itu bakal ditayangkan di perkhidmatan penstriman video OTT, Viu pada penghujung tahun ini.

"Saya sangat teruja apabila dipilih sebagai heroin W: Two Worlds kerana memang peminat K-drama. Bila jadi heroin, macam mimpi jadi kenyataan.

"Insya-ALLAH selepas selesai penggambaran drama ini, saya merancang untuk rakamkan satu single baharu. Lama dah rasanya tak keluarkan single. Harap lagu itu nanti akan mengubat kerinduan peminat yang sentiasa bertanya bila saya nak tampil dengan karya terkini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!