Selangor juara jaga kebajikan rakyat - Mohd Khairuddin

Khairuddin menziarahi seorang penduduk pada program Ziarah Medik pada Sabtu.
Khairuddin menziarahi seorang penduduk pada program Ziarah Medik pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH) antara negeri paling banyak melaksanakan program kebajikan.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, tiada isu kerajaan negeri mengurangkan dana tersebut cuma maklumat program itu tidak sampai kepada rakyat secara keseluruhan.

Menurutnya, sistem penyampaian maklumat akan ditambah baik dan diperkemas bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima manfaat tersebut.

"Selangor memang juara daripada segi kebajikan, cuma cabaran yang kita hadapi bagaimana memastikan maklumat itu sampai ke seluruh rakyat terutama yang memerlukan.

"Ini kerana, tidak semua orang tahu proses berjumpa wakil rakyat, ada juga segelintir masyarakat yang masih tidak tahu menggunakan internet bagi mendapatkan maklumat (inisiatif kebajikan) berkenaan," katanya pada Program Ziarah Medik di Paya Jaras Hulu, Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 1 dan Fasa 2 di sini.

Pada program itu Khairuddin telah melawat beberapa rumah penduduk uzur, terlantar dan sakit bagi mendengar masalah dan harapan mereka terhadap aspek medikal.

Calon PH DUN Paya Jaras itu berkata, lawatan itu adalah bagi pengumpulan maklumat untuk memperluaskan lagi program kebajikan yang bersesuaian dengan golongan berkenaan.

"Saya berharap Menteri Besar yang akan dilantik nanti dapat mewujudkan satu skim bersesuaian untuk membantu golongan sasar.

"Jadi, tujuan kita adakan Ziarah Medik ini selain bertanya khabar, kita mahukan maklum balas daripada mereka," katanya.

Beliau pada masa sama, memberi jaminan akan terus memperkasakan kebajikan rakyat di Paya Jaras sejajar slogan Kekal Berkebajikan yang dibawanya sepanjang mengemudi DUN tersebut selama tiga penggal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!