PRN: Tak pernah diberi peluang jadi calon, bekas guru pilih bertanding Bebas

Che Harun (kiri) berbincang mengenai strategi kempen dengan penyokongnya di Lubuk Kawah pada Ahad.
Che Harun (kiri) berbincang mengenai strategi kempen dengan penyokongnya di Lubuk Kawah pada Ahad.
A
A
A

HULU BESUT - Faktor kecewa tidak tercalon ketika menyertai beberapa parti politik sebelum ini menjadi sebab Dr Che Harun Kamariah membuat keputusan menjadi calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu kali ini.

Che Harun yang juga bekas guru menjadi calon Bebas tunggal di negeri ini selepas memutuskan untuk bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut.

Menurutnya, hasratnya untuk menjadi calon juga telah dinyatakan secara terbuka kepada pimpinan parti yang disertainya sebelum ini termasuklah Pas, UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Pejuang Tanah Tanah Air (Pejuang).

"Ketika bersama Pas, saya pernah memegang jawatan Naib Yang Dipertua Pas Besut tetapi tetap juga tidak berikan peluang untuk menjadi calon ketika itu.

"Kemudian saya sertai UMNO sebelum pergi ke Bersatu dan parti terakhir saya ialah Pejuang, tetapi kesemuanya tidak memberi peluang sedangkan saya telah nyatakan hasrat saya sertai mereka ialah untuk menjadi calon," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Lubuk Kawah di sini pada Ahad.

Menurut Che Harun yang juga imam masjid, menjadi impian dan sasarannya untuk menjadi calon sebaik memilih untuk menyertai politik.

"Saya bekerja dan sertai parti kerana ingin menjadi calon dan bertanding dalam pilihan raya," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangannya jika berjaya memenangi kerusi DUN berkenaan, Che Harun berkata, beliau ingin mewujudkan Hulu Besut maju dan masyarakat yang penyayang.

Ini kerana katanya, wakil rakyat yang menyandang kerusi berkenaan ketika ini dilihat gagal menjaga rakyat secara menyeluruh, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada 'kumpulan' tertentu sahaja.

"Bagi saya tidak kira parti mana, mereka lebih menjaga kroni, bukan ingin menjaga rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Kemunculan Che Harun di Pusat Penamaan Calon di Dewan Mercu Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, di sini pada Sabtu, dengan memilih simbol buku itu juga menyaksikan persaingan tiga penjuru di DUN Hulu Besut.

Selain Che Harun, calon yang turut sah bertanding bagi kawasan itu adalah Mohd Husaimi Hussin daripada Perikatan Nasional (PN) dan Datuk Nawi Mohamad daripada Barisan Nasional (BN).

Nawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut merupakan penyandang DUN Hulu Besut selama empat penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) yang sebelum itu dikuasai Pas selama sepenggal.

Pada PRU14, Nawi menang dengan mendapat 8,045 undian ketika menentang Mohd Daik Mohamad daripada parti Pas yang mendapat 6,576 undi dengan majoriti sebanyak 1,469.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!