'Saya ingat rumah kena bom'
PASIR MAS - “Saya ingat rumah sendiri kena bom,” kata seorang penduduk yang tinggal berhampiran tebing sungai Golok di Kampung Bukit Lata di sini, selepas berlaku insiden stor mercun meletup di Pekan Mundok, Thailand, pada petang Sabtu.
Peniaga, Syed Kamarudin Syed Othman, 52, berkata, semasa kejadian jam 3.45 petang itu, dia baru keluar dari rumah atas urusan kerja sebelum menerima panggilan telefon daripada isteri, Nor Hanira Abdul Halim, 47, dalam keadaan cemas memberitahu rumah mereka dibom.
Dia yang terkejut kemudian terus berpatah balik kerana bimbang keselamatan keluarga termasuk tiga anak berusia 17, 19 dan 23 tahun yang berada di rumah.
“Sampai sahaja, saya lihat kepulan asap berwarna kelabu memenuhi ruang rumah dan isteri dalam keadaan pucat lesi sementara anak perempuan berusia 17 tahun menangis kesakitan dihempap siling yang runtuh. Dia ketika itu sedang tidur di ruang tamu kerana demam.
“Seorang lagi anak lelaki yang berusia 19 tahun pula merangkak keluar selepas siling dalam bilik juga runtuh. Rumah berselerak dengan dua kipas siling jatuh dan dinding dapur retak, dah macam kena bom,” katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku menyebabkan dia kerugian hampir RM15,000.
Ujarnya, dia mengetahui kejadian itu bukan membabitkan bom, sebaliknya stor mercun di negeri jiran meletup, yang terletak kira-kira 800 meter dari rumahnya dan hanya dipisahkan dengan Sungai Golok.
“Saya laung ke arah penduduk di seberang Sungai Golok sejauh 50 meter dan bertanya apa yang berlaku sebelum mereka memberitahu stor mercun meletup.
“Kami mula mengemas rumah pada hari ini dan berbincang dengan tukang untuk membaiki kerosakan rumah,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Sharifah Noraini Syed Othman, 56, berkata, bunyi letupan kuat disusuli dengan letupan kecil berterusan sehingga setengah jam menyebabkan dia panik untuk menyelamatkan diri.
Katanya, semasa kejadian, dia sedang berehat sambil menunggu solat Asar dan turut ada bersamanya ketika itu suami, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah, 73, seorang anak perempuan dan cucu mereka berusia dua tahun.
“Dengar letupan kuat macam bom dan bunyi seperti orang berbalas tembakan berterusan.
“Asap tebal menyebabkan pedih mata tetapi saya sempat berlari ke bilik untuk mendapatkan anak dan cucu bagi menyelamatkan diri,” katanya yang turut mengalami kerugian hampir RM10,000 akibat tingkap, pintu rumah, dua penyaman udara jatuh.
Sementara itu, Penghulu Kampung Mukim Siram, Zamri Yahya berkata, pihaknya akan ke kawasan penduduk yang terjejas bagi mendapatkan maklumat kerugian.
“Kami akan melihat dan mengambil maklumat daripada penduduk untuk dihantar kepada penggawa bagi tujuan bantuan mengikut keperluan,” katanya.
Sekurang-kurangnya sembilan orang dilaporkan maut, manakala 114 cedera dalam insiden letupan gudang mercun di Mukim Mundok, Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand, pada Sabtu.
Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla mengesahkan tiada rakyat Malaysia setakat ini dilaporkan terlibat dalam insiden itu.
Kejadian itu turut menyebabkan 20 rumah di Kampung Bukit Lata, Pasir Mas terjejas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!