KSM galak belia ceburi bidang digital

Sivakumar dan Fadhlina bersama peserta Program YES! Rock The School Edisi Mega Kedah 2023 di Aimst University pada Ahad.
Sivakumar dan Fadhlina bersama peserta Program YES! Rock The School Edisi Mega Kedah 2023 di Aimst University pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi galakkan kepada belia menceburi bidang digital yang mempunyai kebolehpasaran kerja tinggi sekali gus mengurangkan pengangguran negara.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, peluang kerjaya dalam bidang digital cukup meluas serta mempunyai masa depan yang cerah.

Menurutnya, pendedahan dan galakkan perlu diberikan kepada golongan berkenaan termasuk mereka yang masih di bangku sekolah sebagai panduan dan persiapan sebelum ke menara gading.

"Mungkin mereka tidak tahu secara konvensional, kalau kita tanya anak-anak apakah kerjaya pilihan mungkin mereka kata nak jadi doktor, peguam, jurutera dan akauntan.

"Cyber security' dan sebagainya memang punya banyak (peluang) hari tu saya dimaklumkan bahawa hari ini ada 10,000 pekerjaan dalam bidang cyber security," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir ke Program YES! Rock The School Edisi Mega Kedah 2023 di Aimst University pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang turut menyertai sesi forum disaksikan 600 pelajar dari 20 buah sekolah menengah di Kedah.

Jelas Sivakumar, program dianjurkan KSM melalui TalentCorp dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertujuan memberikan pendedahan awal berhubung kerjaya dan hala tuju belia masa depan.

Beliau berkata, program yang dijalankan selama satu hari itu turut memperkenalkan kepada pelajar tentang mynext Profiling Assessment yang dibangunkan oleh TalentCorp di mana memberi bimbingan untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang keupayaan dan potensi diri mereka.

Turut diberi pendedahan ialah faktor kebolehpasaran pekerjaan pelajar dan perkongsian maklumat tentang pekerjaan yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran menerusi Senarai Pekerjaan Kritikal Malaysia (MyCOL).

Selain itu, rakan kongsi strategik seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Empathy for Youth dan Monsters Among Us turut berkongsi pentas dalam membincangkan aspek Sains Komputer Unplugged, membangunkan harga diri positif serta keselamatan dan perlindungan digital kanak-kanak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!