'Fariz beria-ia nak pergi berkelah di laut - Bapa

Mohammad Fariz Irfan (kiri), Abdul Halim (kanan) menunjukkan gambar anaknya ketika ditemui pemberita di pantai Teluk Batik di sini pada Ahad.
Mohammad Fariz Irfan (kiri), Abdul Halim (kanan) menunjukkan gambar anaknya ketika ditemui pemberita di pantai Teluk Batik di sini pada Ahad.
A
A
A

MANJUNG - [DIKEMAS KINI] Hasrat untuk berkelah ke laut bersama keluarga menjadi kenangan terakhir buat seorang kanak-kanak, Mohammad Fariz Irfan Abdul Halim, 10, yang lemas di pantai Teluk Senangin di sini.

Bapa mangsa, Abdul Halim Mohamed Ramli, 44, berkata, mereka sekeluarga sudah lama tidak pergi berkelah kerana kali terakhir sebelum pandemik Covid-19 yang lalu.

Menurutnya, permintaan anak keduanya itu ditunaikan dan tidak menyangka percutian mereka bersama menjadi pemergian terakhir.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak lemas di pantai Teluk Senangin

"Saya jarang bawa anak-anak pergi berkelah tetapi kali ini dia (Mohammad Fariz Irfan) beria-ia nak pergi, rupanya dia nak pergi sungguh.

"Kami pernah datang ke Teluk Senangin, tapi tak pernah mandi-manda, cuma jalan-jalan sahaja. Kali terakhir sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pun kami mandi di Teluk Batik," katanya ketika ditemui pemberita di pantai Teluk Batik di sini pada Ahad.

Bercerita mengenai kejadian itu, Abdul Halim berkata, anak ketiganya daripada empat beradik itu hilang sekelip mata ketika bermain di gigi air.

Katanya, ketika kejadian mangsa diawasi anak keduanya berusia 19 tahun yang berada di pantai ketika itu.

Dia tidak melarang anaknya bermain air di situ kerana ombak pada masa itu dalam keadaan tenang.

"Kalau ombak kuat memang saya suruh naik dah, tetapi lepas itu bila dia main di gigi air tiba-tiba hilang. Merata saya cari dia tapi tak jumpa.

"Lepas saya buntu nak cari di mana, saya terus hubungi 999 maklumkan kehilangan anak. Pasukan menyelamat bersama orang kampung sama-sama cari dari semalam sampai jumpa hari ini," katanya.

Menurutnya, Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya di Ipoh selepas solat Asar setelah segala urusan jenazah disempurnakan di Hospital Manjung.

Terdahulu, mangsa ditemukan lemas kira-kira jam 8.20 pagi oleh nelayan tempatan pada jarak dua batu nautika dari lokasi dipercayai hilang berhampiran Tanjung Hantu di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!