PRN: Jalaluddin perkenal Lima Aspirasi Pertang
JELEBU - Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias memperkenalkan Lima Aspirasi Pertang membabitkan kepentingan rakyat di DUN berkenaan sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Katanya, ia akan menjadi panduan gerak kerjanya dalam tempoh lima tahun apabila diberi kepercayaan oleh rakyat nanti.
"Aspirasi pertama merupakan memperkasa jaringan perkhidmatan internet, kemudahan air,elektrik dan jalan raya.
"Kedua, menaik taraf jalan-jalan ladang dan kebun kecil secara berperingkat bagi memaksimumkan pengeluaran hasil pertanian sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan penduduk," katanya pada Ahad.
Katanya, aspirasi ketiga pula bantuan alatan kesihatan, pendidikan, perniagaan, pertanian dan pengurusan kepada pihak-pihak berkeperluan adalah aspirasi di bawah bantuan peralatan dan pengurusan.
"Aspirasi keempat, sumbangan tunai perayaan, warga emas 70 tahun ke atas dan golongan asnaf tanpa mengira kaum dan agama.
"Mereka akan menerima bantuan pada kadar yang munasabah menjelang musim perayaan antaranya Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali yang bertujuan meringankan perbelanjaan dalam menyambut sesuatu perayaan.
"Aspirasi kelima adalah jualan rakyat di kedai-kedai terpilih secara berkala sebagai satu bentuk bantuan bagi mengurangkan kos sara hidup selain mengadakan program mengisi minyak motosikal secara percuma," katanya.
Jalaluddin berkata, bertemakan Julang Pertang Hingga Gemilang, aspirasi diperkenalkan itu diharap dapat menjulang kehidupan rakyat Pertang ke tahap terbaik.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!