Kedah belum bercadang ikut Kelantan
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menggalakkan umat Islam di negeri ini menunaikan solat tarawih sepanjang Ramadan namun belum bercadang mengarahkan semua pengusaha kedai makan dan restoran menghentikan sementara operasi selama sejam setengah seperti dilakukan di Kelantan.
Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, perlu ada pertimbangan kepada mereka yang mencari rezeki melalui perniagaan makanan kerana telah tutup pada sebelah siang.
Bagaimanapun bagi yang berniaga perlu tahu membahagikan masa untuk urusan perniagaan dan merebut keistimewaan beribadat di bulan suci ini.
"Memang Ramadan antaranya kita mahu hidupkan malamnya dengan solat sunat tarawih tetapi ia bukan terhad pada masa itu sahaja di antara solat Isyak hingga jam 11 malam.
"Bagi mereka yang menutup kedai pada sebelah siang maka sumber pendapatan tidak ada, dia terpaksa mencari rezeki dengan membuka perniagaan pada sebelah malam.
"Mereka ini boleh lagi melakukan solat sunat tarawih selepas jam 11 malam. Saya rasa tidak perlu sehingga tutup kedai kerana tempoh solat sunat terawih masih panjang. Ramadan ini juga adalah bulan rahmah untuk mendapatkan sumber rezeki," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan Kerajaan Kelantan supaya kedai makan ditutup sementara bermula jam 8.30 hingga 10 malam pada bulan puasa.
Dr Ismail berkata, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dan difikirkan terlebih dahulu kerana membabitkan keperluan rakyat terutamanya golongan peniaga.
"Kita menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih namun belum tahap mahu mengarahkan peniaga-peniaga untuk menutup kedai.
"Periuk nasi bagi peniaga-peniaga ini penting juga untuk tanggung keluarga masing-masing. Tapi yang penting mereka perlu tahu untuk agih masa-masa di antara keperluan ibadat dan juga urusan mencari rezeki," katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Gerai makan, restoran tutup sementara waktu tarawih
Mohon jangan sekat peniaga cari rezeki
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!