Penonton beredar di akhir ceramah perkara biasa
GEORGETOWN - Penonton beredar dan pulang ketika di akhir ceramah politik dalam siri kempen pilihan raya adalah perkara biasa.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu berlaku sejak dahulu lagi yang mana penonton akan mula bergerak pulang kerana sudah lewat.
"Dari dulu pun macam tu, 'as night go an older, people will leave'. Selalunya saya menjadi penceramah terakhir, hampir setengah atau suku (penonton) dalam dewan akan kosong.
"Penonton akan beransur pulang kerana waktu sudah lewat kerana kebanyakan ceramah dibuat pada waktu malam.
"Oleh itu, kekurangan penonton di akhir ceramah (walaupun penceramah terdiri daripada pemimpin terkenal) adalah perkara biasa," katanya di Bayan Lepas di sini pada Ahad.
Kon Yeow berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai gambar tular di media sosial mengenai ceramah anjuran Pakatan Harapan (PH) di Dewan Perniagaan Cina yang menunjukkan separuh daripada kerusi yang disediakan kosong walaupun ceramah telah bermula selama 15 minit.
Selain itu, ada juga dakwaan mengenai orang ramai bertindak meninggalkan majlis itu selepas seorang pemimpin DAP yang dikenali tampil berucap.
Menjawab mengenai kerusi kosong di ceramah tersebut, Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata, penonton ketika ini dilihat lebih gemar menonton secara dalam talian berbanding hadir ke dewan.
"Penonton kini lebih gemar menonton melalui dalam talian. Kita ada siaran langsung di Facebook, ia mungkin capaian lebih besar daripada fizikal, itu satu norma baru tetapi kita perlu usaha lah, walaupun dalam talian atau fizikal, kita perlu berusaha mencapai sasaran penonton.
"Tambahan pula, semalam (Sabtu) baru hari pertama, kita ada 14 hari lagi melibatkan pelbagai bentuk aktiviti termasuk aktiviti yang lebih penting iaitu tinjauan mesra. Ia lebih dekat dengan pengundi.
"Banyak calon sudah mula turun berkempen untuk bersemuka dengan pengundi," kata beliau lagi.
Mengulas mengenai sokongan pengundi terhadap PH Pulau Pinang dalam PRN kali ini, Kon Yeow berkata, sambutan yang diberikan pengundi ketika dua hari berkempen amat memberangsangkan.
"Pagi tadi saya di pembukaan Pusat Khidmat Perai dan melawat Pasar Chai Leng Park, sambutan sangat bagus. Selain itu, program di Bayan Baru juga sambutan baik tetapi saya tidak mahu terlalu yakinlah.
"Saya percaya, orang sudah kenal parti lebih daripada calon, itu kelebihan kita kerana penjenamaan kita kukuh, sebab sudah 15 tahun kita jadi kerajaan," katanya.
Sementara itu, pemerhatian di Facebook DAP Pulau Pinang mendapati, jumlah tontonan yang menonton Ceramah PH yang bermula jam 8 malam itu adalah 16,700.
Sebelum ini, DAP mengumumkan 19 calonnya untuk PRN, dengan tujuh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) digugurkan, termasuk lima bekas Exco, antaranya bekas Timbalan Ketua Menteri yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy.
Ramasamy kemudian menyifatkan wujud 'tangan ghaib' di sebalik pemilihan calon parti itu untuk PRN, mendakwa tindakan berkenaan diambil ke atas penyandang kerusi DUN yang menyokong Kon Yeow yang juga Ketua Menteri kekal menerajui Pulau Pinang jika PH menang PRN.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!