DAP tak benar pindaan semula libat tempoh jawatan Ketua Menteri
BUTTERWORTH - DAP hari ini memberi jaminan tidak akan membenarkan pindaan semula terhadap Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal.
Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow berkata, Setiausaha Agung parti, Anthony Loke turut tidak bersetuju untuk meminda perlembagaan negeri ini bagi membolehkan seseorang Ketua Menteri memimpin Pulau Mutiara itu tanpa sebarang had tempoh.
"Saya tidak tahu siapa yang membuat cadangan ini tetapi semestinya DAP tidak akan membenarkan ini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Operasi Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan wujud usaha untuk meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bagi membolehkan bekas ketua menteri yang sudah berkhidmat selama dua penggal dilantik semula ke jawatan berkenaan.
Pada 2018, Persidangan DUN Pulau Pinang meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2018 untuk mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal.
Ditanya mengenai dakwaan barisan Exco bayangan kerajaan negeri sudah dimuktamadkan, Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang memberitahu, ia hanya akan dibentuk selepas memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini.
"Kalau menang dan saya boleh angkat sumpah menjadi Ketua Menteri barulah boleh fikir mengenai barisan Exco kerana melibatkan semua parti yang menang, bukan hanya DAP,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DAP bertanding 19 kerusi DUN di Pulau Pinang dan menang kesemua kerusi berkenaan.
Turut hadir majlis hari ini ialah pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan calon PH DUN Perai Datuk Seri S. Sundarajoo. - Bernama
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!