Siasatan kecurian REE tiada kaitan PRN - Saifuddin

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

ALOR SETAR - Siasatan terhadap kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik tidak akan terhenti walau apa jua keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, siasatan berkenaan perkara itu tiada kaitan dengan isu PRN.

"Siasatan ke atas kes ini oleh agensi-agensi kerajaan atau negeri saya yakin akan diteruskan kerana dalam tempoh 12 hari ini tidak mungkin siasatan sepenuhnya dapat dijalankan.

"Jadi ini bukan isu pilihan raya tetapi ini isu tidak kompeten dan lemahnya tata kelola menteri besar dalam menguruskan kerajaan negeri," katanya.

Saifuddin mendakwa, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak cekap mentadbir urus kerajaan negeri sehingga berlaku kecurian unsur REE di Bukit Enggang.

Beliau berkata, Sanusi juga seolah-olah mengizinkan kecurian REE berlaku di depan matanya sendiri.

Katanya, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional itu juga gagal menjelaskan kepada rakyat persoalan- persoalan yang timbul berkaitan kecurian berkenaan.

"Adakah dia (Sanusi) mahu rakyat Kedah percaya bahawa kecurian REE yang berlaku hampir dua tahun ini dilakukan oleh orang luar tanpa bantuan oleh menteri besar ataupun orang-orang kanannya.

"Dia mesti tampil dan ambil tanggungjawab untuk menjawab semua persoalan berkaitan isu ini," katanya pada sidang media di sini pada Ahad.

Menurutnya, urus tadbir yang tidak cekap bukan sahaja memberi kesan kepada kerajaan negeri, malah turut menjejaskan imej negara apabila isu pemerdagangan manusia turut ditimbulkan dalam kecurian REE.

"Jadi, tindakan dia yang tidak menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan ini menunjukkan betapa tidak 'incompetence' dia dalam menangani masalah yang berlaku di Kedah.

"Jangan anggap isu ini enteng seolah-olah insiden terpencil ini atau isu dimainkan pada musim pilihan raya kerana ini melibatkan isu keselamatan negara," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!