Konsep Rahmah diperluas, tambahan RM50 juta di seluruh DUN - PM

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi memperluaskan Insentif Jualan Rahmah di seluruh negara dalam usaha membantu rakyat.

Beliau berkata, menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), program berkenaan akan dilaksanakan segera secara berperingkat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, sebelum ini usaha tersebut hanya memberi tumpuan di beberapa setiap Parlimen satu Jualan Rahmah.

"Sekarang saya minta ia diperluaskan di seluruh DUN supaya semua pihak terutamanya miskin tegar dapat mengecapi kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

"Tentu ambil kos lebih, kalau tidak cukup saya akan bincang dengan Menteri Kewangan untuk cari wang tambahan. Tiada makna soal perjuangan, rahmah dan belas kasihan kalau soal makanan tidak terjamin untuk golongan tersebut," ujarnya selepas merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan ( HPK) 2023 di sini.

Tambah Anwar, dalam Belanjawan Madani mencatatkan seramai 130,000 keluarga miskin tegar pada tahun 2023.

"Saya mesti noktahkan dan kita mahu sasarkan rekod di mana dengan keprihatinan dan belas kasihan dalam kalangan elit, profesional dan bisnes, tiada sebab untuk kita tidak boleh sekurang-kurangnya memberikan keperluan asas untuk komuniti miskin ini.

"Lagipun, program tersebut mendapat sambutan baik sama ada di bandar mahupun luar bandar," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh memberitahu, bagi Jualan Rahmah Bergerak, ia mempunyai kelebihan lori-lori jualan bergerak sampai secara terus kepada golongan sasar.

"Pelaksanaannya berkonsepkan "Kedai Cari Rakyat", lori yang membawa barang-barang keperluan asas harian mampu masuk ke kampung- kampung, kawasan B40, kawasan PPR dan taman perumahan kos rendah, kemudiannya terus membuat jualan di kawasan tersebut.

"Sehingga 29 Julai 2023 Program Jualan Rahmah Bergerak telah berjaya dilaksanakan di 396 lokasi berbeza di seluruh negara," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!