53,000 peminat Muse banjiri Stadium Bukit Jalil

Rata-rata peminat yang hadir berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan kumpulan Muse. FOTO: @echolaliapictures
Rata-rata peminat yang hadir berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan kumpulan Muse. FOTO: @echolaliapictures
A
A
A

KEHADIRAN kumpulan rock dari Devon, England menerusi Konsert Jelajah Dunia Will Of The People sememangnya dinanti-nantikan peminat setia di Malaysia.

Buktinya, 53,000 peminat setia membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan Muse yang dianggotai Matt Bellamy (penyanyi, gitar), Chrisopher Wolstenholme (bass) dan Dominic Howard (dram).

Kali terakhir kumpulan yang popular menerusi lagu Supermassive Black Hole, Starlight dan Time Is Running Out itu pernah mengadakan konsert di Stadium Negara, Kuala Lumpur adalah pada tahun 2007.

Lebih istimewa, konsert anjuran Hello Universe itu menyaksikan Kuala Lumpur menjadi satu-satunya lokasi persinggahan untuk siri jelajah di Asia.

Walaupun bermula sedikit lewat, ia langsung tidak mencacatkan keterujaan peminat setia kumpulan itu. Muse muncul di pentas tepat jam 9.25 malam menerusi lagu Will Of The People.

Adrenalin peminat semakin memuncak lebih-lebih lagi yang berada di ‘standing zone’, yang kelihatan terhibur dan cukup sporting di sepanjang persembahan.

Muse mempersembahkan lebih 25 buah lagu hit antaranya Hysteria, Madness, Uprising, Kill Or Be Killed, Map Of The Problematique dan Supermassive Black Hole.

“Selamat petang (malam) Kuala Lumpur,” tegur Matt yang disambut sorakan daripada peminat.

Mewakili Chris dan Dominic, Matt menyatakan mereka berasa gembira dapat kembali semula ke KL selepas 16 tahun.

“Seronok rasanya dapat kembali semula (ke Kuala Lumpur) selepas 16 tahun.

“Kamu semua menyanyikan lagu kami dengan baik sekali,” kata Matt memuji hasil ‘sing along’ peminat menerusi lagu hit mereka iaitu Starlight dan Time Is Running Out.

Apa yang menarik perhatian peminat apabila Matt dengan 'slumber' berlari-lari di atas pentas sambil bermain gitar.

Malah Dominic turut melayangkan drum stick sebaik konsert berdurasi satu setengah jam itu melabuhkan tirainya.

Cukup bertenaga biarpun rata-rata mereka sudah berusia lebih 40 tahun.

Sementara itu, di media sosial, masih ada yang membandingkan sikap positif yang ditunjukkan kumpulan ini berbanding dengan kumpulan kontoversi, The 1975.

"Matt Bellamy 'on', Matty Healy 'off'," tulis seorang pengguna media sosial yang menyaksikan konsert itu.

Ditubuhkan pada tahun 1994, Muse telah menghasilkan sebanyak sembilan album studio termasuk terbaharu, Will Of The People yang diterbitkan pada tahun lalu.

Sebelum ‘memanaskan’ Stadium Nasional Bukit Jalil, ahli kumpulan Muse sempat mencuri masa bersama keluarga dengan bercuti di Pulau Langkawi sejak Selasa lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!