Mohd Syahir tunggu surat jemputan debat daripada Rafizi
SHAH ALAM - Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman masih menunggu surat jemputan daripada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang mahu berdebat dengannya mengenai hal ehwal ekonomi.
Beliau yang juga ahli Parlimen Bachok berkata, sejak semalam namanya disebut untuk menggantikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang telah menolak cabaran debat bersama Menteri Ekonomi itu.
“Patutlah batuk-batuk sejak semalam. Rupanya ada orang jauh sebut-sebut nama kita.
“Saya ada di Bachok ni. Kita tunggu lah surat itu sampai,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan, Rafizi mencabar Mohd Syahir untuk berdebat dengannya selepas cabaran itu ditolak Muhammad Sanusi dan Mohamed Azmin.
"Azmin sudah tolak, Sanusi sudah tolak, saya nak tengok sama ada Syahir yang diangkat sebagai tokoh nombor satu ekonomi dalam PN tampil ke hadapan dan sudah beri ruang (berdebat) sepenuhnya.
"Saya akan menulis secara rasmi (jemputan berdebat) dan tunggu dia nak jawab apa," katanya ketika ditemui selepas Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Sabtu malam.
Rafizi berkata, beliau akan berterusan mempelawa wakil PN untuk berdebat kerana budaya itu perlu dibawa demi pembaharuan negara.
Sementara itu, Mohd Syahir berkata, janji yang baik akan dikenang jika ditepati.
“Pulau Pandan jauh ke tengah, gunung daik bercabang tiga, hancur badan dikandung tanah, janji yang baik dikenang juga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!