'Inilah masanya jadikan peti undi 'mahkamah' rakyat’

Nurhayati Nordin
Nurhayati Nordin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan peruntukan kepada tiga persatuan belia di Terengganu dalam satu majlis pada Jumaat bukanlah satu bentuk rasuah menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berpandangan, sekalipun perkara tersebut dianggap sah dari segi undang-undang dan merupakan inisiatif kerajaan kepada rakyat, namun tawaran yang dibuat untuk meraih sokongan semasa pilihan raya ini menimbulkan persoalan membabitkan aspek etika, moral dan prinsip menolak elemen rasuah dalam memastikan pilihan raya yang bersih dan adil.

Namun beliau menjelaskan, tawaran yang dibuat untuk meraih sokongan semasa pilihan raya itu bakal menimbulkan persoalan membabitkan aspek etika, moral dan prinsip menolak elemen rasuah.

“Tindakan menjanjikan rakyat dengan mewujudkan pelbagai inisiatif sebelum, semasa atau selepas PRN perlu dinilai terlebih dahulu untuk melihat keberkesanan manifesto yang dibuat pemimpin daripada mana-mana parti politik.

“Inilah masanya untuk kita semua jadikan peti undi sebagai ‘mahkamah rakyat’ dalam usaha mendemonstrasikan negara ini ke arah memilih individu yang benar-benar memegang prinsip menolak rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengenai pengumuman peruntukan dibuat Presiden UMNO itu kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Majlis Belia Malaysia Terengganu dan kelab bermotosikal negeri berkenaan, bukanlah satu bentuk rasuah.

Jelas Azam, pihak SPRM melihat pemberian tersebut sebagai inisiatif yang wajar dilaksanakan untuk rakyat dari kementerian di peringkat Persekutuan.

Dalam pada itu, Nurhayati mengingatkan orang ramai supaya sedar dan berhati-hati dengan segala janji daripada parti politik bagi memastikan kemenangan mereka terjamin.

Tambahnya, penilaian sepenuhnya masih di bawah kuasa rakyat sendiri kerana mereka berhak memilih calon yang tepat, amanah, berwibawa dan mampu menentukan hala tuju negara pasca pilihan raya.

“Ia akan menatijahkan kebaikan buat masa depan negara dan bukannya mencacatkan sebarang prinsip yang dimanifestasikan oleh kebangkitan rakyat yang ingin menyelamatkan Malaysia daripada berterusan dibelenggu normalisasi rasuah,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!