PRN: Rafizi kritik manifesto PN mahu selesai isu kos sara hidup

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengkritik kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjanji untuk menyelesaikan isu kenaikan kos sara hidup menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN), tetapi tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana ia bakal dilaksanakan.

Menurutnya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu seolah-olah tidak menyedari bahawa kadar inflasi di Malaysia sudah pun turun selama enam bulan berturut-turut.

“Komponen penting untuk mengawal harga barang adalah dengan menambah bekalan.

“Nak turunkan harga, perlu tambah bekalan. Tambah bekalan bukan macam petik lalang tepi jalan,” katanya dalam ciapan di Twitter pada Ahad.

Baru-baru ini media tempatan melaporkan, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin berkata, akan memberi tumpuan menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup termasuk isu lonjakan harga barang dan inflasi dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) koalisi itu di enam negeri.

Menurutnya, antara fokus dalam kempen kali ini adalah masalah pekerjaan, pendapatan rakyat (yang masih rendah), kesihatan, pendidikan, perumahan, isu perubahan iklim, alam sekitar dan infrastruktur.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, pengenalan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) oleh Kerajaan Perpaduan baru-baru ini bagi melipat gandakan infrastruktur dan kemudahan pertanian moden untuk membantu meningkatkan ekonomi.

Tambahnya, inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan penglibatan anak-anak muda dalam industri pertanian moden.

“Kerajaan terdahulu ada laksanakan apa-apa untuk turunkan harga barang? Tidak ada. Sebab tidak menarik.

“Nak libatkan rakyat dalam industri tani moden bukan mudah, tapi kita mesti laksanakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!