Pelombong emas haram Indonesia dikhuatiri maut

Anggota penyelamat membawa janakuasa semasa operasi mencari pelombong tertimbus di Banyumas. - AFP
Anggota penyelamat membawa janakuasa semasa operasi mencari pelombong tertimbus di Banyumas. - AFP
A
A
A

BANYUMAS - Lapan orang yang terperangkap dalam lombong emas haram di pulau Jawa Indonesia dikhuatiri maut, kata pegawai penyelamat tempatan Ahad, ketika usaha mencari memasuki hari kelima.

Ketika kejadian, pekerja sedang menggali di dalam lubang sedalam 60 meter di kampung Pancurendang di Jawa Tengah pada petang Selasa apabila air tiba-tiba membanjiri lombong haram itu.

Pasukan penyelamat telah mengepam air sepanjang masa mengeluarkan air daripada lombong tersebut, namun usaha itu tidak berjaya.

"Ia sudah memasuki hari kelima. Kami menjangkakan berita buruk bahawa semua mangsa telah meninggal dunia," kata ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan Adah Sudarsa.

Adah berkata, usaha menyelamat akan diteruskan sehingga Selasa ini dengan harapan dapat mengeluarkan mayat pelombong yang masih belum ditemui itu.

Pihak berkuasa telah merancang untuk mengerahkan penyelam mencari pelombong tetapi pegawai penyelamat tempatan, Priyo Prayudha Utama memberitahu AFP bahawa usaha itu mungkin tidak berhasil kerana syaf lombong terlalu sempit.

Pada Jumaat polis mendakwa empat orang kerana didapati mengendalikan lombong itu tanpa permit.

Suspek, termasuk seorang yang masih bebas, berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda 100 bilion rupiah (RM300 juta)

Pada 2021, enam orang terbunuh di Pulau Sulawesi selepas lombong emas haram runtuh.

Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dua tahun sebelumnya apabila sebuah lagi lombong emas haram di pulau itu runtuh dan menimbus pekerja.

Pada 2016, 11 pelombong maut selepas banjir lumpur melanda sebuah lombong emas haram di wilayah Jambi, Sumatera. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!