Bawa kereta mewah tapi otak tinggal di rumah
TATKALA kehangatan perang pilihan raya negeri (PRN) telah bermula pada Sabtu, muncul pula video tular sekumpulan pemandu kereta mewah yang mungkin otak mereka tertinggal di rumah atau langsung tidak mempunyai otak.
Dalam video berdurasi 71 saat itu, Merak Jalanan sakit hati melihat tindakan pemandu ‘bodoh’ yang memandu supercar jenis Lamborghini dalam keadaan berbahaya dengan memotong kenderaan lain secara melulu di Lebuh Raya Senai-Desaru.
Mereka tanpa bersalah memotong dengan cara berbahaya, antaranya di kawasan garisan berkembar dan ketika ada kenderaan lain.
Tak pasal-pasal pula kereta dan lori di laluan bertentangan terpaksa ‘hormat’ dengan memberikan laluan kepada golongan kaya tersebut.
Mujur melalui rakaman video tersebut tak ada kejadian buruk yang berlaku. Bagi Merak Jalanan, jika terjadi sedikit kesilapan, sudah pasti nyawa pengguna jalan raya yang lain menjadi taruhan.
Apa pun, Merak Jalanan kagum dengan tindakan pantas polis daerah Kota Tinggi, Johor yang telah mengenal pasti pemandu-pemandu tidak berotak itu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora menjelaskan, mereka yang berusia antara 44 dan 64 tahun itu telah diambil keterangan bagi siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seingat Merak Jalanan, kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku. Pada awal Jun lalu, sekumpulan pemandu kereta mewah dari Singapura memandu perlahan dan menghalang lalu-lintas di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS).
Cuma Merak Jalanan hairan, kenapa segelintir pemandu kereta mewah yang lazimnya daripada golongan berduit dan bijak pandai mempamerkan sisi bodoh mereka kepada orang awam?
Adakah nyawa orang lain bagi mereka tidak berharga atau nyawa orang lain lebih murah harganya daripada harga sebuah kereta Lamborghini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!