Cari formula hentikan budaya buli
KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut universiti itu, Zulfarhan Osman Zulkarnain, enam tahun lalu ternyata belum memberi keinsafan terhadap pembuli.
Buktinya, sehingga hari ini kisah buli masih berlaku, bukan sahaja dalam institusi pendidikan, malah ada juga kes-kes buli yang dilaporkan di tempat kerja.
Terbaharu, kerajaan Perak pada Rabu memaklumkan sedang menunggu laporan penuh berhubung siasatan kes buli di sebuah sekolah sukan negeri di Gunung Rapat melibatkan dua pelajar yang juga atlet sukan sepak takraw.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, kejadian itu dimaklumkan pihaknya oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara yang berlaku minggu lalu.
Khairudin berkata, difahamkan pelajar Tingkatan Tiga itu ditendang dan dipijak oleh pelajar senior (Tingkatan Lima) tetapi dari segi kecederaan mangsa, pihaknya masih menunggu laporan yang akan dikeluarkan doktor.
Sementara itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) juga akan melakukan siasatan dalaman bagi mengenal pasti mereka yang terlibat dalam insiden beberapa anggota tentera disyaki didera anggota senior di sebuah kem di Sungai Petani, Kedah.
Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataan pada Selasa berkata, kes tersebut telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Ia susulan tular satu video di media sosial berhubung laporan polis bertarikh 21 Julai 2023 berkaitan individu dipercayai anggota tentera mendakwa dirinya dan beberapa rakan telah didera secara fizikal oleh anggota senior.
Dua kes tersebut adalah antara contoh kes buli yang dilaporkan dalam tempoh terdekat ini sehingga menarik perhatian ramai.
Berdasarkan komen warganet, rata-rata mereka mahukan agar kerajaan dan pihak berkaitan mencari formula terbaik menghentikan budaya buli.
Benar, budaya tersebut telah wujud sejak sekian lama, namun ia kurang mendapat perhatian kerana ledakan teknologi digital ketika itu tidak seperti hari ini. Kuasa tular dilihat banyak membantu memberi keadilan terhadap individu yang menjadi mangsa buli.
Dalam pada itu, masyarakat juga tidak boleh lagi melihat budaya ‘hitam’ itu sebagai perkara biasa, sebaliknya perlu ditangani secara berterusan.
Justeru, dalam konteks tersebut, pihak sekolah atau majikan perlu mengambil serius setiap aduan atau laporan buli yang berlaku di tempat mereka.
Tidak dinafikan, ada segelintir pengetua atau pentadbir sekolah yang tidak melaporkan kes buli kepada Jabatan Pendidikan sama ada daerah atau negeri semata-mata ingin menjaga imej sekolah.
Ia jelas perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan patut dihentikan segera kerana dibimbangkan memberi kesan lebih besar pada masa akan datang.
Perbuatan buli memberikan pelbagai kesan buruk terutama kepada mangsa. Ia meliputi kesan fizikal, mental dan sosial. Ada mangsa yang mengalami kesan berpanjangan termasuklah kemurungan melampau.
Menurut Pakar Psikologi dan Kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad, perbuatan buli berterusan yang dialami pelajar sekolah boleh menyebabkan mangsa mengalami gangguan mental neurosis tahap serius hingga menyebabkan berubah sikap menjadi ganas.
Ujar beliau, gangguan mental yang tercetus akibat perbuatan buli mengakibatkan kesan emosi dan trauma. Akhirnya menyebabkan mangsa bertindak luar kawalan.
Baru-baru ini, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) tampil menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertimbangkan cadangan untuk meminta pelajar menjalani ujian psikologi atau kesihatan mental.
Ia bagi membolehkan mereka yang mempunyai tanda-tanda pembuli dikenal pasti lebih awal. Langkah itu membolehkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri tersebut dibantu dengan sewajarnya.
Kerajaan khususnya KPM perlu mencari formula terbaik untuk menyelesaikan isu yang telah lama membarah itu. Formula penyelesaian tersebut penting kerana ia bakal menjadi penentu dalam melahirkan generasi bebas daripada mempunyai ciri-ciri pembuli yang akhirnya boleh merosakkan seluruh sistem.
Cukuplah! Kita tidak mahu lagi insiden sama menimpa Allahyarham Zulfarhan dan kes-kes lain berulang pada masa akan datang.
*Nurul Huda Husain ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!