Keadaan Sufi Syafrina belum pulih sepenuhnya

Sufi Syafrina Mohd Shafiq menghidap penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) Jenis 1. Gambar kecil: Mohd Shafiq Idrus
Sufi Syafrina Mohd Shafiq menghidap penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) Jenis 1. Gambar kecil: Mohd Shafiq Idrus
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan kesihatan bayi berusia enam bulan, Sufi Syafrina Mohd Shafiq yang menghidap penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) Jenis 1 menunjukkan perkembangan baik dan stabil ketika ini.

Bapanya, Mohd Shafiq Idrus, 38, berkata, berdasarkan laporan daripada doktor hasil fisioterapi yang dijalankan di klinik swasta sebelum ini, keadaan bayi itu sudah 90 peratus mampu menggerakkan tubuh badannya termasuk kaki dan tangannya.

Menurutnya, anaknya itu masih memerlukan suntikan jenis Zolgensma untuk memastikan badannya pulih sepenuhnya.

“Suntikan ubat itu perlu dilakukan sebelum usianya mencecah dua tahun. Usia Sufi Syafrina baru enam bulan, sebab itu doktor sarankan sebelum dua tahun.

“Lebih daripada dua tahun itu, kesihatan bayi akan merosot dan semakin lama merundum. Berat badan akan menurun atau mungkin menyebabkan gangguan kepada kesihatan pada bahagian lain.

“Saya sekeluarga amat menghargai usaha Sinar Harian membantu kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada 23 Julai, akhbar ini melaporkan, Sufi Syafrina yang didiagnosis menghidap penyakit genetik jarang berlaku memerlukan bantuan sebanyak RM9 juta bagi menampung kos perubatan.

Pada Selasa, Sinar Harian melancarkan tabung bagi mengumpul dana untuk membantu Sufi Syafrina yang menghidap penyakit genetik berkenaan dan memerlukan suntikan jenis Zolgensma untuk pulih.

Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, tabung berkenaan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama komuniti atas dasar kemanusiaan.

Menurutnya, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Sinar Karangkraf: 564276-529068 - Tabung Bantuan Sufi Syafrina.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi derita penyakit genetik, perlu kos perubatan RM9 juta

Rawatan segera selamatkan nyawa penghidap SMA Jenis 1

Tabung bantu Sufi Syafrina dilancar

Sufi Syafrina perlukan ihsan orang ramai


Tabung Sufi Syafrina: Beri harapan baharu untuk keluarga

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!