Wanita ditahan buat laporan palsu
AMPANG - Seorang wanita ditahan kerana membuat laporan palsu kononnya menjadi mangsa ragut di Kampung Dato Mufti Shuib, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berusia 24 tahun bertindak sedemikian kerana ingin mendapatkan kad pengenalan yang tercicir.
"Suspek mendakwa beg tangannya diragut seorang penunggang motosikal ketika dia sedang membonceng motosikal bersama teman lelakinya, pada jam 7 malam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Azam berkata, pihaknya telah membuat tangkapan terhadap wanita itu di Balai Polis Ampang, di sini pada jam 8.50 malam, hari sama kerana membuat laporan palsu.
"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian air kencing mendapati negatif dadah.
"Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga esok (Selasa) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!