Calon Amanah DUN Kota Lama mahu lawan guna fakta, maklumat benar

Dr Hafidzah (tengah) yang berucap pada Perasmian Bilik Gerakan Pakatan Harapan (PH) bagi N09 DUN Kota Lama di Kota Bharu.
Dr Hafidzah (tengah) yang berucap pada Perasmian Bilik Gerakan Pakatan Harapan (PH) bagi N09 DUN Kota Lama di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Calon Parti Amanah Negara (Amanah) di DUN Kota Lama menegaskan akan melawan calon bertanding dengan menyampaikan fakta dan maklumat yang benar kepada rakyat bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan, pada 12 Ogos ini.

Dr Hafidzah Mustakim berkata, banyak perkara yang menjadi kekeliruan dalam kalangan rakyat termasuk perihal kesihatan berikutan maklumat disampaikan tidak betul.

“Saya kaitkan terus dengan masalah kesihatan dan perubatan kerana stastistik kesihatan menunjukkan rakyat Kelantan yang menerima vaksin dan saringan kesihatan masih rendah.

“Kita ada pelbagai program tetapi yang hadir juga sedikit termasuklah ujian mengesan kanser kerana meraka takut dan ini hanya boleh dihilangkan dengan maklumat yang betul. Jadi, kita lawan dengan fakta dan maklumat yang benar,” katanya pada Perasmian Bilik Gerakan Pakatan Harapan (PH) bagi N09 DUN Kota Lama, di sini pada Ahad.

Ujar Dr Hafidzah, Kelantan jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia termasuk isu kadar pendapatan rakyatnya yang diibaratkan jauh panggang dari api jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur atau Selangor.

Kata beliau, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana masih banyak potensi yang belum diketengahkan bagi menjana lebih banyak ekonomi dan peluang pekerjaan di negeri ini.

“Golongan muda keluar dari Kelantan atas banyak sebab antaranya tak cukup infrastruktur dan tidak menarik untuk mereka melabur.

“Untuk itu, jadilah kuasa ‘membawa mulut’, benda molek dan bukan ‘membawang’ perkara tidak baik.

"Sampaikan kepada rakyat tentang kejayaan-kejayaan yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan, malah negeri-negeri yang dikuasai ataupun diperintah oleh Kerajaan Perpaduan ini yang memberikan kesejahteraan kepada keseluruhan rakyat Malaysia,” katanya.

Justeru kata beliau, rakyat perlu memlilih wakil yang selari dengan Kerajaan persekutuan.

Pada PRN kali ini, Dr Hafidzah (PH-Amanah) melawan Zamri Ismail (PN-Pas), Tan Boon Kian (Parti Rakyat Malaysia) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

Sebelum itu, semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Hafidzah kalah dengan 6,139 undi di DUN Tanjung Mas sementara Madihah Ab Aziz dari Barisan Nasional BN-UMNO meraih 4,945 undi.

Kerusi itu dimenangi Rohani Ibrahim dari Pas yang juga penyandang sejak 2004 dengan memperoleh 13,154 undi dan menang bersama majoriti 7,015 undi.

Dr Hafidzah (tengah) yang berucap pada Perasmian Bilik Gerakan Pakatan Harapan (PH) bagi N09 DUN Kota Lama di Kota Bharu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!