Jalani enam pembedahan akibat dihempap motosikal
KOTA BHARU - Runtun hati seorang ibu melihat anaknya yang kini dirawat di hospital menahan kesakitan dan bersikap seperti anak kecil akibat dihempap motosikal dalam kemalangan 18 Jun lalu.
Zuraidah Abd Aziz, 45, terpaksa menguatkan semangat diri apabila Nurul Aqilah Mohd Amin, 23, yang lebih 45 hari dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Menurut Zuraidah, dalam tempoh itu juga, Nurul Aqilah, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi lebih dua minggu untuk menjalani enam pembedahan bagi menghentikan pendarahan.
Katanya, pembedahan turut dilakukan untuk membuang sebahagian hati yang rosak selain paru-paru dan limpa turut mengalami masalah sama.
"Ketika kemalangan, Nurul Aqilah menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan ke tempat kerja.
"Anak saya cuba mengelak sebuah kenderaan pacuan empat roda yang tiba-tiba keluar dari selekoh menyebabkan dia hilang kawalan dan motosikalnya terbalik menghempap bahagian hatinya," katanya.
Zuraidah memberitahu, Nurul Aqilah sudah menerima 20 pek darah jenis O melalui derma beberapa individu sebagai usaha menyelamatkan nyawanya.
Lebih menyedihkan katanya, anaknya yang juga lulusan Diploma Perakaunan dari Politeknik Besut itu sepatutnya menyambung pengajian ijazah di sebuah universiti awam.
"Keadaan kewangan yang tidak mengizinkan menyebabkan dia mengambil keputusan bekerja di sebuah kedai barangan serbaneka untuk mengumpul wang pengajian," katanya.
Tambah Zuraidah, anak kedua daripada enam beradik itu merupakan seorang yang ceria dan sentiasa berusaha untuk membantu keluarga terutama persekolahan empat adiknya berusia antara 12 hingga 19 tahun.
"Pilu hati saya apabila doktor tidak dapat memberi jaminan dia boleh pulih sepenuhnya dalam tempoh setahun dan sangat memerlukan perhatian dan tidak boleh terdedah dengan habuk.
"Saya pernah membawanya pulang selepas 15 hari dirawat tetapi keesokannya terpaksa dihantar semula ke hospital kerana masalah pernafasan," katanya.
Akibat keadaan itu, jelas Zuraidah, anaknya terpaksa menjalani pembedahan di bahagian belakang untuk mengeluarkan air dalam paru-paru.
Zuraidah yang bekerja di sebuah kedai membuat biskut di Kampung Chempaka dengan upah RM50 juga buntu memikirkan masalah kewangan kerana dia terpaksa berhenti buat sementara kerana perlu menjaga Nurul Aqilah.
"Kewangan kami sekeluarga kini bergantung kepada pendapatan suami saya, Muhammad Muaz Shari, 29, yang bekerja di sebuah kilang.
"Saya perlu kuat bagi mengelakkan anxiety dan memikirkan Nurul Aqilah yang 100 peratus berubah seperti kanak-kanak. Rumah kedua saya kini hanyalah hospital ini," katanya.
Orang ramai yang mahu berkongsi rezeki boleh menghubungi WhatsApp Zuraidah di nombor 016-9622497 atau terus ke akaun Bank Islam (03036020990884) atas nama Zuraidah Abd Aziz.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!