Kanak-kanak 9 tahun ditemui mati dipercayai didera

Seorang kanak-kanak lelaki ditemui mati dipercayai didera di sebuah rumah di Assam Kumbang, dekat sini pada Ahad. - Gambar hiasan
Seorang kanak-kanak lelaki ditemui mati dipercayai didera di sebuah rumah di Assam Kumbang, dekat sini pada Ahad. - Gambar hiasan
A
A
A

TAIPING - Seorang kanak-kanak lelaki ditemui mati dipercayai didera di sebuah rumah di Assam Kumbang, dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, maklumat kejadian itu diterima melalui panggilan Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 sekitar jam 11 pagi.

Menurutnya, pegawai perubatan yang dikejarkan ke lokasi kejadian telah mengesahkan kematian kanak-kanak itu.

"Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan lebam di kaki, badan dan muka mangsa yang berkemungkinan akibat kesan didera," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, mayat telah dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Katanya, berdasarkan maklumat diterima mangsa dipercayai tinggal di rumah berkenaan bersama ibu dan rakan ibunya.

"Tiada tangkapan buat masa ini. Bagaimanapun polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil membantu siasatan," katanya.