Asrama tahfiz terbakar, 20 pelajar selamat
SHAH ALAM - Sebuah asrama sekolah tahfiz yang menempatkan 20 pelajar lelaki di Kampung Medan, Telok Panglima Garang di Kuala Langat, musnah dalam kebakaran awal pagi Isnin.
Bagaimanapun, kesemua pelajar berusia antara 13 dan 17 tahun itu berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian tersebut yang menyebabkan bangunan asrama itu musnah 70 peratus.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada jam 12.03 tengah malam tadi.
Beliau berkata, seramai 18 anggota termasuk pegawai telah digerakkan ke lokasi kejadian dan kebakaran berjaya dipadamkan pada jam 12.54 tengah malam.
"Kebakaran melibatkan sebuah asrama lelaki berkeluasan 20x70 kaki persegi, jenis bangunan struktur terbuka kelas A dan tidak melibatkan mangsa.
"Semasa kejadian, terdapat 20 penghuni yang telah bertindak menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!