Sambutan Hari Pahlawan meriah, persembahan pantomim menyentuh jiwa
PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Isnin berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan Negara di sini.
Istiadat sambutan Hari Pahlawan anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkonsepkan perbarisan statik melibatkan enam detasmen terdiri daripada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), pesara serta bekas anggota polis.
Acara dimulakan dengan lagu Negaraku diiringi 21 das tembakan meriam yang disempurnakan oleh anggota ATM, dan diikuti dengan pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Al-Sultan Abdullah.
Perbarisan Hari Pahlawan melibatkan 18 pegawai dan 652 anggota lain-lain pangkat daripada PDRM dan ATM yang diketuai oleh Supt Mohd Rezuan Juragan.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Istiadat kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dikenali sebagai 'last post' dengan menurunkan Jalur Gemilang diikuti dengan deklamasi sajak berjudul ‘Pahlawanku’ disampaikan oleh Sarjan Roseshini Kasim dan Pegawai Waran I Yomen Morzelan Md Jusoh.
Pantomim khas oleh PDRM turut dipersembahkan pada istiadat itu yang berkisarkan kepada tragedi berdarah di Lahad Datu, Semporna Sabah sedekad lalu, namun kali ini mengisahkan pencerobohan di Kampung Air Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah.
Bertajuk Op Daulat Kampung Simunul, persembahan pantomim hasil karya Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali itu membawakan kisah tragedi hari kedua pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Simunul atau Kampung Air Simunul selepas serangan berlaku di Kampung Tanduo.
Suasana sedih dan pilu terserlah di wajah Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta beberapa tetamu kehormat ketika menyaksikan persembahan pantomim yang dipersembahkan oleh 150 pegawai dan anggota polis serta ahli keluarga pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam tragedi berdarah itu.
Yang di-Pertuan Agong turut berkenaan mencemar duli menyantuni ahli keluarga mangsa yang terkorban selepas persembahan tamat.
Sambutan Hari Pahlawan pada setiap 31 Julai merupakan antara usaha dan keprihatinan kerajaan dalam mengenang jasa perwira tanah air yang gugur ketika mempertahankan kedaulatan negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!