Petani nafi benteng dibina atas tanah persendirian

Gambar kiri: Mazlan Ithnin menunjukkan batu sempadan geran tanah. (Gambar kanan) Khalid menunjukkan geran tanah milik petani yang menggambarkan tiada binaan benteng penghalang air masin dibina atas tanah milik mereka.
Gambar kiri: Mazlan Ithnin menunjukkan batu sempadan geran tanah. (Gambar kanan) Khalid menunjukkan geran tanah milik petani yang menggambarkan tiada binaan benteng penghalang air masin dibina atas tanah milik mereka.
A
A
A

BATU PAHAT - Petani di Kampung Kelicap dan Kampung Sungai Suluh mendakwa benteng sepanjang kira-kira 4 kilometer (km) di Tanjung Laboh di sini yang berfungsi menghalang kemasukan air masin ke dalam kawasan kebun mereka bukan di atas tanah persendirian.

Mazlan Ithnin, 55, berkata, ini kerana batu sempadan tanah mereka berada pada kedudukan kira-kira 12 meter dari benteng malah jauh dari kebun yang diusahakan mereka.

Justeru katanya, petani terkejut dengan kenyataan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Batu Pahat berkaitan bahawa benteng penghalang air masin di kebun mereka dibina atas tanah persendirian sehingga menyebabkan kesukaran mendapatkan peruntukan membina benteng kekal.

"Perancangan pihak JPS untuk membaiki benteng yang pecah menggunakan pokok bakau dan geotekstile amat sesuai namun adalah lebih baik jika dibina secara keseluruhan sepanjang 4km dan bukan di kawasan tertentu sahaja.

"Ini kerana jika dibina di kawasan yang pecah dibimbangi akan berlaku runtuhan di tempat lain dan menyebabkan masalah kemasukan air masin ke dalam kebun tidak selesai, seterusnya petani tetap berhadapan masalah yang sama.

"Bagi kami biarlah kerja pembaikan ini dilakukan hanya sekali kerana jika dilakukan secara berulang kali tidak akan menyelesaikan secara total masalah dihadapi petani sejak enam tahun lalu," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Pada 4 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan kira-kira 80 petani di dua kampung berkenaan kerugian jutaan ringgit selepas kebun dengan tanaman pelbagai jenis kelapa mati serta tidak mengeluarkan hasil.

Sehari selepas itu pula, pihak JPS Batu Pahat menyatakan benteng dibina atas tanah milik petani dan ini menyebabkan usaha mendapatkan peruntukan membina benteng kekal berhadapan kesukaran.

Mengulas lanjut Mazlan berkata, petani dari dua kampung itu amat mengharapkan ada pihak yang dapat membantu mengatasi masalah yang dihadapi agar kegemilangan penghasilan buah kelapa di kawasan itu dikembalikan seperti sebelum 2018.

Khalid Kader, 65, pula berkata, petani yang mengusahakan tanah seluas 121 hektar oleh 80 penduduk amat merindui zaman sebelum masalah kemasukan air masin berlaku di Tanjung Labuh ini.

Ujarnya, ketika itu petani boleh tersenyum lebar apabila mampu meraih pendapatan lumayan setiap bulan, namun kini hanya linangan air mata selepas melihat satu persatu pokok tanaman mati serta tidak menghasilkan buah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!