'Saifuddin boleh semak data dalam simpanan KDN' - Tun M
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaska Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail boleh menyemak data pelancong China yang tidak pulang ke tanah asal yang berada dalam simpanan kementerian itu.
Dr Mahathir berkata, teknologi kini membolehkan data diperoleh di semua pintu masuk dan pintu keluar negara kerana setiap pelancong perlu menunjukkan pasport yang mempunyai butiran yang cukup.
"Yang punyai maklumat ialah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan menterinya. Tiap tahun kerajaan isytihar jumlah pelancong yang masuk.
"Kerajaan tentu tahu jumlah yang keluar. Kenapa tanya saya. Bukankah menjadi tanggungjawab KDN dan menteri menghitung siapa yang masuk dan siapa yang keluar," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.
KDN pada 21 Julai lalu dilaporkan tidak dapat membuktikan dengan tepat berhubung dakwaan kononnya terdapat jutaan pelancong China yang tidak pulang ke tanah asal.
Saifuddin berkata, isu itu bukan perkara baharu, sebaliknya ia rancak dibongkarkan bekas Dr Mahathir sebelum pilihan raya 2018 yang lalu.
Dr Mahathir menjelaskan, KDN sendiri telah menyatakan di Parlimen seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan pada 27 Julai 2022 mengenai lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia setelah tiba di negara ini dalam tempoh antara 2018 hingga 2021.
"Angka 1.5 juta disebut oleh pendakwa lain. Saya cuma terima dakwaan mereka.
"Jika saya diberi akses kepada semua rekod saya boleh bukti. Tetapi untuk semak rekod-rekod yang disimpan oleh kerajaan bayarannya amat tinggi. Ia seolah kerajaan ingin sembunyi data," dakwa beliau lagi.
Malah, Dr Mahathir turut mendakwa bahawa beliau telah berjumpa dengan ramai antara pelancong China terbabit dan ramai yang memiliki rumah di Kuala Lumpur.
"Apa gunanya rekod jika menteri pun tidak dapat maklumat akan data di dalamnya.
"Banyak lagi rekod yang disimpan oleh kerajaan. Umpamanya siapa yang memiliki tanah dan siapa yang kaya yang tinggal dalam perumahan mewah," ujarnya.
Katanya, rakyat berhak tahu data tersebut dan dasar kerajaan berkenaan dengan maklumat yang didapati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!