Dewan Negara Perak kecam tindakan tular titah Sultan Nazrin
IPOH - Dewan Negara Perak menyifatkan tindakan menularkan video titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang disunting untuk tujuan politik kepartian disifatkan sebagai mencemar institusi diraja.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata, video tersebut memilih memuat naik sebahagian kecil titah baginda yang ketika itu sebagai Pemangku Raja Perak pada 19 Februari 2013 di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Menurutnya, cara klip video itu diolah, telah mengaitkan dan mengheret secara langsung atau tidak langsung kedudukan seorang raja pemerintah untuk tujuan politik kepartian.
"Melalui kenyataan media ini, ditegaskan bahawa Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak sama sekali memihak dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik.
"Perbuatan menularkan video yang berkaitan sangat tidak beretika dan perbuatan seperti ini disifatkan tidak bersopan kepada seorang raja pemerintah dan telah mencemarkan nama baik takhta. Oleh itu penularan video yang berkaitan wajib dihentikan," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Mohd Zahidi berkata, dalam wacana tersebut, baginda menzahirkan analisis melibatkan dua buah parti terbesar Melayu, iaitu UMNO dan Pas, yang merupakan dua kuasa politik Melayu yang dominan ketika itu dan baginda tidak hanya menzahirkan kata-kata positif terhadap Pas tetapi secara seimbang turut menzahirkan kupasan yang sama terhadap UMNO.
Menurutnya, Sultan Nazrin turut memberikan ulasan seimbang antara dua buah parti politik Melayu tersebut dan turut menzahirkan peringatan kepada kedua-dua pihak agar keghairahan mendapatkan sokongan politik dan kuasa tidak sampai memecahbelahkan bangsa serta memusnahkan negara.
"Adalah dipercayai ada pihak yang memilih memetik titah Sultan Nazrin Shah pada tahun 2013 untuk ditularkan semula dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong parti Pas dalam suasana menjelang pilihan raya di enam negeri pada 12 Ogos depan.
"Demi melindungi nama baik Sultan Perak daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk meraih laba politik, Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak telah membuat laporan polis pada 29 Julai 2023," katanya.
Pada Ahad, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan telah menerima laporan pada jam 6.30 petang Sabtu dan memaklumkan kes masih dalam siasatan.
Semakan mendapati, wanita yang cuba mengetengahkan pandangan Sultan Nazrin terhadap Pas dalam klip video berkenaan ialah seorang pemimpin Muslimat Pas Melaka.
Wanita tersebut mengambil petikan video yang sebelum ini pernah dimuat naik di Facebook Dewan Muslimat Pas Melaka pada 11 November 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!