Calon BN Jeram Padang patah kaki kiri, mohon maaf kepada pengundi

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (dua dari kiri) dan calon DAP DUN Bahau, Teo Kok Seong (kiri) melawat Mohd Zaidy yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pasir Besar-Palong pada awal pagi Isnin. - Foto Bernama
Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (dua dari kiri) dan calon DAP DUN Bahau, Teo Kok Seong (kiri) melawat Mohd Zaidy yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pasir Besar-Palong pada awal pagi Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

JEMPOL - [DIKEMAS KINI] Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir mengalami patah kaki kiri selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Pasir Besar-Palong, di sini pada Isnin.

Menurut Mohd Zaidy, kejadian jam 3.25 pagi itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan pulang ke inap desa di Palong 2, di sini selepas berjumpa dengan jentera parti di Bahau.

"Disebabkan pemandu saya sudah kepenatan kerana seharian berkempen, dia tidur di tempat duduk penumpang dan saya ambil alih memandu.

"Namun sebaik sampai di satu selekoh kenderaan kami terbabas dan masuk ke kiri jalan. Lagi pun keadaan jalan agak gelap," katanya dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau yang kini dimasukkan di wad Hospital Jempol bersyukur kerana selamat namun pemandunya agak kritikal.

Sehubungan itu, beliau meminta maaf kepada masyarakat DUN Jeram Padang kerana tidak dapat turun berkempen dalam beberapa hari ini.

"Selepas berehat dua atau tiga hari ini, Insya-ALLAH saya akan kembali berjumpa dengan pengundi dan mungkin terpaksa menggunakan kerusi roda.

"Saya mohon agar doakan saya cepat sembuh dan anggap musibah berlaku adalah ketentuan ALLAH," katanya.

Mohd Zaidy berkata, beliau tetap bersemangat untuk kembali berkempen bertemu pengundi sekali gus bagi memastikan kemenangan kepada BH di DUN Jeram Padang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab mengesahkan kemalangan berlaku.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berlaku menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4412502 dan Bilik Gerakan IPD Tampin di talian 06-4431999 bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan telah dibuka di bawah sek 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca kemalangan masih dalam siasatan," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!