Bursa Malaysia tinggi semasa akhiri sesi dagangan pagi
BURSA Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi tinggi pada Isnin, disokong oleh kenaikan berterusan dalam kaunter produk dan perkhidmatan perindustrian terpilih susulan sentimen pasaran serantau yang positif.
Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.06 mata kepada 1,454.41 daripada 1,450.35 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks utama itu dibuka 0.72 mata lebih tinggi kepada 1,451.07 sebelum bergerak di antara 1,451.07 dengan 1,459.62 sepanjang sesi ini.
Keseluruhan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 495 berbanding 361, manakala 400 kaunter tidak berubah, 1,048 kaunter tidak diniagakan dan 53 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 1.87 bilion unit bernilai RM945.37 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sebarang potensi negatif dalam bursa tempatan akan diserap oleh sentimen pasaran telah menjadi lebih baik, menunjukkan bahawa saham berharga rendah sudahpun mengalami keadaan tidak banyak berubah untuk kenaikan seterusnya menjelang bulan pelaporan bagi suku tahunan.
"Melihat ke hadapan, pelabur akan memantau dengan teliti data pembuatan China serta jangkaan = awal data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2023 zon euro,” tambahnya.
Mengenai komoditi, minyak mentah Brent menghampiri AS$85 setong, manakala minyak sawit mentah (MSM) berlegar melebihi RM4,000 satu tan, menurutnya.
Oleh yang demikian, firma pembrokeran itu menjangkakan sektor tenaga kekal aktif memandangkan harga minyak mentah yang lebih tinggi berikutan prospek pengehadan bekalan.
"Sektor teknologi mungkin mencerminkan prestasi kukuh di Nasdaq pada Jumaat lepas. Kami juga menjangkakan kembalinya dana asing mungkin terus memberi sokongan kepada saham wajaran tinggi perbankan,” tambahnya.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM9, CIMB dan Petronas Chemicals masing-masing naik empat sen kepada RM5.54 dan RM6.89, Tenaga Nasional meningkat dua sen kepada RM9.59, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.14.
Antara saham aktif, KNM dan Sarawak Consolidated masing-masing naik setengah sen kepada 9.5 sen dan 44 sen, ES Chemicals menokok 3.5 sen kepada 29.5 sen, manakala Hong Seng dan Widad masing-masing tidak berubah pada 7.5 sen dan 42.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM 70 meningkat 19.71 mata kepada 13,955.03; Indeks FBM Emas menambah 26.08 mata kepada 10,679.01; Indeks FBMT 100 naik 25.51 mata kepada 10,366.69; Indeks FBM Emas Syariah menokok 24.76 mata kepada 10,929.96 manakala Indeks FBM ACE kurang 13.82 mata kepada 5,307.51.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 50.66 mata kepada 16,230.47; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.69 mata kepada 168.20; Indeks Perladangan naik 23.65 mata kepada 7,173.76 manakala Indeks Tenaga susut 1.57 mata kepada 831.13. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!