Penghantar makanan serah memorandum kepada calon DUN Jitra

Ahmad Muzakkir (tiga dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Haim Hilman di tapak pasar malam Taman Sri Aman di Jitra pada Isnin.
Ahmad Muzakkir (tiga dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Haim Hilman di tapak pasar malam Taman Sri Aman di Jitra pada Isnin.
A
A
A

KUBANG PASU - Kumpulan penghantar makanan di kawasan Jitra di sini menyerahkan memorandum cadangan untuk meningkatkan aspek kebajikan mereka kepada calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah.

Pengerusi Penghantar Makanan Kedah, Ahmad Muzakkir Ahmad Mokhtar berkata, antara cadangan yang diketengahkan adalah penambahbaikan tapak rehat mereka di tapak pasar malam Taman Sri Aman di Jitra.

Katanya, pemimpin setempat juga disaran jadikan penghantar makanan sebagai pelapis atau ikon yang terawal dalam membantu masyarakat setempat.

"Jika kita imbau semula ketika Covid-19, rider (penghantar makanan) juga yang banyak menyahut seruan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membantu masyarakat yang terputus pendapatan," katanya ketika majlis penyerahan memorandum oleh penghantar makanan di Tapak Pasar Malam, Taman Sri Aman di sini pada Isnin.

Dalam masa sama, beliau berharap Haim Hilman dapat menyelesaikan masalah laluan penghantar makanan di Taman Gemilang.

"Laluan hantar makanan di Taman Gemilang agak sukar apabila pihak pengurusan taman tidak membenarkan menggunakan laluan belakang taman.

"Jadi rider harus guna laluan utama, pembayaran rider pula tidak tepat kerana sistem telah rekod laluan khas dari Google Map," katanya.

Tambah Ahmad Muzakkir, penghantar makanan juga boleh menjadi pengantara antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Pusat Khidmat Wakil Rakyat dengan masyarakat.

"Ini kerana rider sentiasa berada di atas jalan di setiap kawasan setiap hari, jadi kami lebih dekat dengan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Haim Hilman berkata, beliau telah meneliti cadangan yang dikemukakan oleh kumpulan penghantar makanan terbabit.

"Saya akan berusaha untuk merealisasikan segala cadangan yang dinyatakan dan saya juga berharap semua pihak dapat bekerjasama untuk membangunkan DUN Jitra ini secara bersama-sama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!